Home Nasional 1MDB: SPRM tubuh pasukan petugas siasat kes di luar negara

1MDB: SPRM tubuh pasukan petugas siasat kes di luar negara

MACC Malaysian Anti-Corruption Commission Datuk Seri Azam Baki. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2019 government projects cartel syndicate monopoly.
Chief Commissioner of the Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) Datuk Seri Azam Baki. PIX: Hazrol Zainal / MalaysiaGazette

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan satu pasukan petugas khas baharu bagi mendapatkan semula aset-aset berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar negara yang bernilai hampir RM20.74 bilion.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, pasukan tersebut akan ditubuhkan di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah (GIACC).

Beliau berkata, pada masa sama, pasukan khas itu juga akan mendapat kerjasama Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara.

“SPRM sudah mengenal pasti aset-aset yang perlu kita dapatkan semula dari luar negara.

“Pasukan ini perlu ditubuhkan kerana kes 1MDB merupakan satu tugas yang agak rumit.

“Jadi, kita dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan dan kita sedang berusaha mengesan pergerakan aliran wang selain berbincang mengenai hal perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sidang media khas 1MDB di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.

Mengulas lanjut, Azam memberitahu, aset-aset 1MDB turut dikenalpasti berada di beberapa buah negara luar lain dan bukan sahaja di Amerika Syarikat.

Namun beliau tidak menamakan negara tersebut.

“Kita perlu mematuhi proses perundangan negara luar dan ini memerlukan perbincangan lanjut.

“Kita tidak boleh menggunakan undang-undang di negara ini dalam mendapatkan semula aset-aset itu,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai berlian merah jambu, Azam berkata, aset-aset itu bukan sahaja melibatkan berlian merah jambu itu tetapi melibatkan banyak lagi aset lain yang berada di luar negara. – MalaysiaGazette