KUALA LUMPUR- Pakatan pembangkang masih tidak mampu menampilkan nama calon perdana menteri yang sesuai kerana hakikatnya tiada calon yang layak dan berkaliber untuk menjadi pemimpin nombor satu mereka.
Selain itu, pemerhati politik berpandangan, mereka juga mengambil masa yang lama untuk mencari seorang calon yang sesuai didorong oleh ketiadaan rasa ikhlas serta tiada penyatuan dalam kalangan parti-parti yang bergabung.
“Belum ada yang dipersetujui dari segi dasar. Apa intipati dalam perjuangan mereka? Adakah banyak tuntutan yang pelbagai daripada banyak pihak dan kaum?.
“Saya fikir kalau pembangkang ada keikhlasan dan kesatuan serta hasrat yang betul, mereka sudah pasti dengan mudah dan bersikap terbuka boleh memilih calon yang sesuai. Kalau tidak ada keterbukaan mereka tak akan dapat mengenalpasti calon.
“Kesatuan mereka masih tiada, keikhlasan hendak memperjuangkan sesuatu di atas minat dan kepentingan kaum dan parti juga tidak ada.
“You must rise above the multi-party interest dan fikirkan kepentingan untuk negara,” kata penganalisis politik, Profesor Emiretus Datuk Sulaiman Yassin berkata kepada Malaysia Gazette hari ini.
Sebelum ini, PKR dengan lantang mengingatkan parti-parti gabungan pembangkang bahawa hanya Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja yang akan menjadi calon tunggal Perdana Menteri jika berjaya merampas kuasa pemerintahan negara.
Ia berikutan pengaruh Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad mula meresapi pakatan pembangkang dengan meletakkan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon yang sesuai menyebabkan pengaruh Anwar dalam kalangan pemimpin dan penyokong pembangkang mula merundum.
Malah DAP pula dikatakan mengintai jawatan timbalan perdana menteri sedangkan mengikut perancangan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu jawatan perdana menteri patut menjadi milik mereka.
Menurut Prof Sulaiman atas pemasalahan itu, pembangkang menjadi lebih sukar untuk mengumumkan calon yang sesuai kerana bimbang individu yang dipilih tidak menepati kehendak rakyat untuk PRU14 yang dikatakan sudah hampir.
“Mungkin itu salah satu sebab tetapi mereka sebenarnya takut calon itu belum begitu teguh dan mantap, mungkin daripada segi akhlak. Bila dinamakan nanti calon itu akan jadi tumpuan seluruh masyarakat.
“Bagaimanapun mereka (pembangkang) kena umum segera kerana jika tidak mereka akan dilihat belum bersiap sedia,” katanya.
Akhirnya, jika keputusan mengumumkan nama calon terlalu lambat, ia akan menjadi satu kekurangan kepada mereka dan kelebihan kepada Barisan Nasional. – Malaysia Gazette