Home Seni Hidup Bila Agong beratur beli ayam goreng

Bila Agong beratur beli ayam goreng

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengejutkan orang ramai apabila membeli ayam goreng di premis makanan segera di Temerloh.

Seri Paduka memasuki premis sebelum dilihat beratur memesan sendiri makanan di kaunter.

Berdasarkan beberapa keping gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram (IG) istana_negara, Al Sultan Abdullah kelihatan bersama beberapa pegawai pengiring serta Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr.  Salehuddin Ishak sedang memesan hidangan Ayam Goreng Kentucky.

98327ad9-b60e-416a-835a-41da3479aa33

Menurut keterangan gambar di IG, baginda menikmati santapan tengah hari itu sebaik selesai menunaikan solat Jumaat di bandar Temerloh.

Difahamkan, Tuanku yang lengkap berbaju Melayu serta bersongket kuning kelihatan memilih menu ayam goreng bersama kentang goreng sebelum bersantap di dalam restoran berkenaan.

Tindakan spontan baginda turut menarik perhatian pelanggan dan kakitangan restoran berkenaan yang pastinya teruja melihat Al Sultan Abdullah mengenepikan protokol.

Terdahulu, baginda bersama isteri Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melawat mangsa ribut di Kampung Haji Ali, di Temerloh.

Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan wang tunai kepada 74 keluarga yang terjejas dalam kejadian itu.- MalaysiaGazette