KUALA LUMPUR – Tindakan saman terhadap Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz hanya boleh dilakukan oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, terletak kepada kemahuan Azmin sekiranya mahu memulakan tindakan undang-undang terhadap Haziq atas dakwaan memfitnah Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu, minggu lalu.
“Itu adalah hak Datuk Seri Azmin samada nak saman atau tidak,” katanya kepada Malaysia Gazette ketika menghadiri Majlis Pelancaran Festival Seni Bina Kuala Lumpur 2019 di Architecture & Design District Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata Lembaga Disiplin sudah membuat keputusan untuk memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq.
Jelasnya, Datuk Ahmad Kasim sudah memberikan Haziq tempoh 14 hari untuk menjawab surat tunjuk kerana sudah mencemarkan dan berniat merosakkan nama parti.
“Dari segi parti sekiranya dimulakan satu saman, ianya tidak melibatkan PKR dan setakat ini parti telah melaksanakan tindakan disiplin terhadap Haziq dan kita tunggu keputusan siasatan pihak berkuasa,” jelas Fahmi lagi.
Ditanya sama ada PKR sudah lali dengan fitnah dan dakwaan daripada ahlinya sendiri, Fahmi berkata sesebuah parti politik semestinya sering kali diuji bahkan lagi sudah menjadi kerajaan memerintah.
“Bagi kami parti yang terlalu biasa dengan serangan-serangan seperti ini dan ini merupakan satu lagi cabaran, saya pasti parti berupaya untuk mengatasinya.
“Paling penting adalah menyelesaikan masalah rakyat dan melaksanakan reformasi di semua peringkat dan memastikan kehendak rakyat dipenuhi,” katanya lagi.
PKR hari ini dihambat satu lagi dakwaan skandal seks melibatkan orang nombor dua parti.
Minggu lalu, empat klip video lucah melibatkan bekas Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama itu dengan seorang lelaki mirip Azmin tersebar menerusi media sosial.
Ia semakin mengejutkan apabila Haziq tampil mengaku dirinya adalah individu dalam klip video seks lucah yang tular.
Haziq turut mendakwa Azmin sebagai individu bersamanya dalam klip video yang menurutnya dirakam pada 11 Mei lalu di Sandakan, Sabah.
Bagaimanapun, ia dijadikan Azmin yang menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya. -MalaysiaGazette