Home Nasional JPJ laksana AWAS 15 April ini

JPJ laksana AWAS 15 April ini

Liow Tiong Lai (tiga dari kiri) hadir pada Mesyuarat Global ke Lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Untuk Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Kemalangan Kali Ke-5 di Hotel Sama-Sama, Sepang. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 5 APRIL 2017.

SEPANG – Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (KEJARA) dikuatkuasakan sepenuhnya 15 April ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, AWAS adalah sistem yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan kamera dibantu sistem teknologi maklumat untuk mengenal pasti dan mengesan pesalah jalan raya.

Menurutnya, sistem berkenaan telah beroperasi sejak 1 April lalu namun, kementeriannya memberi tempoh dua minggu sebagai tempoh percubaan.

“Melalui sistem ini, pesalah akan diberi amaran, digantung atau batal lesen akibat kesalahan melanggar peraturan lalu lintas seperti memandu laju dan melanggar lampu isyarat.

“Selepas 15 April ini, semuanya akan beroperasi sepenuhnya kepada semua pemandu di negara ini, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Global Badan Bukan Kerajaan (NGO) Untuk Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Mangsa Kemalangan Kali Ke-5 di sini, hari ini.

Sistem AWAS sepatutnya dilaksanakan pada Mei tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan bagi mendapatkan kelulusan Kabinet selain menunggu sistem dalam talian bersepadu kesalahan trafik dibangunkan JPJ siap sepenuhnya. – MalaysiaGazette