RIYADH – Pemberontak Houthi melancarkan serangan ke atas lapangan Terbang Abha di selatan Arab Saudi mengakibatkan seorang terbunuh dan 21 lagi cedera, kata gabungan diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan itu di Yemen.
Terdahulu, rangkaian televisyen Al-Masirah berkata, gerakan Iran menyasar untuk menyerang dengan menggunakan dron ke atas lapangan terbang Abha dan Jizan di selatan Arab Saudi, lapor Reuters.
“Serangan pengganas oleh militan Houthi yang disokong Iran menyasarkan lapangan terbang Abha, seorang penduduk warga Syria terbunuh dan 21 orang awam cedera,” kata gabungan itu dalam kenyataan yang disiarkan rangkaian televisyen Arab Saudi.
Bagaimanapun tiada pengesahan mengenai serangan ke atas lapangan terbang Jizan.
Rangkaian televissyen Al Arabiya milik Arab Saudi berkata, sebuah dron disyaki menyerang tempat letak kereta lapangan terbang Abha yang terletak kira-kira 200 kilometer ke selatan sempadan Yemen.
Menurutnya, operasi penerbangan telah disambung semula di lapangan terbang tersebut yang mana operasi kembali normal.
Pada awal bulan ini kumpulan Houthi menyerang lapangan terbang Abha dengan menggunakan peluru berpandu mengakibatkan 26 orang cedera. – Agensi