Home Nasional 9 pensyarah UIAM wanita paling berpengaruh dalam kewangan Islam

9 pensyarah UIAM wanita paling berpengaruh dalam kewangan Islam

Sembilan pensyarah UIAM disenaraikan dalam wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

KUALA LUMPUR – Sembilan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tersenarai dalam 300 wanita paling berpengaruh dalam bidang kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

Senarai tersebut diumumkan pada majlis ‘The 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards’ di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai, baru-baru ini.

Cambridge International Finance Advisory adalah sebuah organisasi perkhidmatan kewangan yang berpusat di United Kingdom (UK), iaitu menyediakan khidmat nasihat strategik kepada badan kerajaan, institusi kewangan dan organisasi dua hala dalam memajukan pasaran kewangan.

Sembilan pensyarah tersebut terdiri daripada tiga orang professor, empat pensyarah akademik dan dua orang felo akademik.

Kesemua mereka dari Institut Antarabangsa Perbankan dan Kewangan Islam (IIBF) dan Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS), Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) dan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (IRKHS) UIAM.

Mereka ialah Prof Engku Rabiah Adawiah, Prof Rusni Hassan dan Prof Madya Dr Salina Kassim dari IIBF.

Manakala Prof Madya Dr Irwani Abdullah dan Prof Dr. Maliah Sulaiman dari KENMS, selain Prof Madya Dr Uzaimah Ibrahim dan Prof Madya Dr Akhtarzaite Abdul Aziz masing-masing dari AIKOL dan IRKHS.

Dua lagi adalah felo akademik dari IIBF ialah Datin Zariah Abu Samah dan Zarinah Mohd Yusoff.

Dengan pengiktirafan sembilan pensyarah wanita tersebut membuktikan kepada dunia bahawa usaha dan dedikasi mereka mempelopori bidang kewangan Islam dan bidang masing-masing membolehkan mereka tersenarai dalam senarai wanita paling berpengaruh.

Ia juga adalah usaha ke arah melonjakkan UIAM ke peringkat global dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.

Untuk rekod, pada tahun 2016 UIAM juga pernah mendahului bidang Perbankan dan Kewangan Islam pada peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette