JOHOR BAHRU – Polis Johor hari ini menyangkal khabar angin mengenai kejadian penculikan, baru-baru ini, yang kononnya melibatkan seorang jururawat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, hasil siasatan polis mendapati kejadian tersebut bukannya culik, sebaliknya merupakan masalah peribadi.
“Kes yang tular di laman sosial itu bukanlah kes culik kerana kalau kes culik, jururawat tersebut mestilah dilarikan tanpa kerelaan dan penculik pula mesti membuat tuntutan wang tebusan dan sebagainya.
“Hasil siasatan polis mendapati jururawat berkenaan sebenarnya telah melarikan diri bersama seorang lelaki yang dipercayai bekas tunangnya. Keluarga kedua-dua belah pihak juga telah maklum mengenai perkara tersebut dan pihak polis kini masih menjalankan siasatan untuk mengesan mereka berdua,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Derma Darah bersempena Peringatan Hari Polis ke-210 Peringkat Kontinjen Johor, di sini hari ini, beliau jururawat itu dan bekas tunangnya, masing-masing berusia lingkungan 30-an, kini dipercayai sudah keluar dari negeri ini.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti identiti bekas tunang jururawat berkenaan dan usaha sedang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada kedua-dua mereka sudah bertindak keluar dari negara ini.
“Kes ini tidak diklasifikasikan sebagai culik, ia lebih kepada masalah di antara keluarga. Kita juga telah meminta bantuan daripada kontinjen lain dan kalau berjaya ditahan, kita akan kenakan hukuman berdasarkan kesalahan apa yang telah dilakukan,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai kempen derma darah yang menyasarkan 200 penderma berkenaan, Wan Ahmad Najmuddin berkata, ia merupakan program tahunan Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor dengan kerjasama Hospital Sultan Ismail di sini. – MalaysiaGazette