KUALA LUMPUR – Sama ada rela atau dipaksa, mana-mana individu yang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah tetap dikategorikan sebagai rogol, kata Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjelaskan langkah dengan mengahwinkan pasangan bawah umur yang terlanjur tidak akan menyelesaikan masalah penyakit sosial tersebut.
“Undang-undang memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak yang berumur 16 tahun ke bawah sama ada secara rela atau dipaksa tetap dikategorikan sebagai rogol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegas Azalina lagi, bagi kes rogol bawah umur, pelaku tidak akan terlepas daripada hukuman sekiranya melakukan hubungan seks dengan mereka yang berumur 16 tahun ke bawah dan boleh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebatan.
“Isu ini tidak seharusnya diputar-belitkan oleh mana-mana pihak kerana ia perlu ditangani bersama untuk masa depan generasi akan datang.
“Sebaik lulusnya Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 semalam diharapkan isu yang melibatkan kanak-kanak dapat ditangani dengan lebih berkesan,” katanya.
Semalam, ahli-ahli Parlimen hangat membahaskan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan ia diluluskan semalam. – MalaysiaGazette