KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini menegur perkhidmatan Malaysia Airlines Berhad (MAB) selepas gagal mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di London.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata disebabkan kelewatan penerbangannya daripada Kuala Lumpur mengakibatkan beliau tidak dapat bertemu Mahathir yang mengadakan lawatan kerja di United Kingdom.
“Pada 16 Jun 2019, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sepatutnya mempunyai temujanji penting untuk bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di London, England.
“Akan tetapi, disebabkan kelewatan pesawat Malaysia Airlines MH0002 untuk berlepas selama lebih kurang dua jam 30 minit dari Kuala Lumpur pada malam 15 Jun 2019, temujanji yang sepatutnya berlaku pada pagi 16 Jun 2019 itu gagal untuk berlangsung.
“Menteri Pertahanan singgah ke London semata-mata untuk bertemu dengan perdana menteri dalam perjalanannya untuk lawatan rasmi ke Perancis,” kata kenyataan itu lagi.
Kejadian berlaku pada 16 Jun lalu ketika Mohamad Sabu dalam perjalanan ke Perancis.
“Kesulitan ini amat dikesali dan diharapkan pihak Malaysia Airlines tidak akan mengulanginya pada masa akan datang,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette