Home Politik UMNO tidak seperti PKR, rela pilih undang-undang

UMNO tidak seperti PKR, rela pilih undang-undang

Shahrir Abdul Samad.

KUALA LUMPUR – UMNO lebih rela berserah kepada pengadilan mahkamah dalam permohonan pelucutan hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 41 responden bagi mendapatkan semula wang milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disalah guna.

Pendekatan itu, kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad, lebih telus dan terbuka, yang sudah tentunya lebih bermaruah dari pembersihan secara politik kerana pemulihan imej UMNO mengharuskan pemimpin-pemimpin parti itu menghormati proses undang-undang.

Apatah lagi, sistem perundangan negara telah dibina semasa pemerintahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak merdeka lagi.

Shahrir menyifatkan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula ghairah memberi reaksi apabila Latheefa Koya mengumumkan pelucutan hak terhadap 41 responden itu.

Keghairahan mereka memberi reaksi itu didakwa tidak sama ketika pengumuman pembekuan 408 pemegang akaun yang dibekukan oleh SPRM p[ada 3 Julai tahun lalu.

Lantaran itu, Shahrir meminta Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmar Nasir berhati-hati sedikit menyambut pengumuman Latheefa Koya kerana umum mengetahui hubungan politik Latheefa dengan PKR suatu ketika dulu,

Beliau tidak hairan jika Akmal membuat saranan supaya UMNO memulangkan wang 1MDB secara sukarela seperti mana yang dilakukan oleh selebriti di Amerika Syarikat.

Apatah lagi, ketika Timbalan Presiden PKR berdepan dengan kontroversi video dan Ketua AMK Bahagian Santubong mengaku dia yang menjadi individu bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam video tersebut.

Menurut bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, UMNO tidak seperti pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu memilih proses undang-undang sebaliknya menggunakan cara politik.

Sambil memberi contoh, Shahrir berkata, Azmin juga tidak mahu memilih proses undang-undang untuk menyelesaikan kontroversi video itu walaupun dicabar olih Haziq Abdullah Abdul Razak yang mengaku perbuatan tersebut dan mendakwa Azmin sebagai pasangannya.

“Ketua AMK PKR seperti bossnya juga tidak terlalu gemar kepada proses undang-undang yang menjadi pilihan UMNO apabila berdepan dengan tindakan SPRM.

“Betullah timbalan presidennya pun berhak kalau tak mahu kepada proses undang-undang untuk membersihkan namanya dari tuduhan Haziq. Lagi pun PM PH dan PKR sendiri mampu membersihkan namanya secara politik.

“PKR boleh memilih cara politik dan di luar undang-undang kerana ia parti pemerintah. Terserahlah kepada prinsip perjuangan masing-masing,” tambahnya.

Shahrir berkata, dia telah dipanggil bagi isu yang sama pada 3 Julai tahun lalu kerana UMNO Bahagian Johor Bahru menerima sumbangan politik termasuk menyiapkan rumah-rumah pangsapuri dari Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan Presiden UMNO.

Beliaujuga dipanggil polis empat bulan kemudian bagi siasatan kes sama.

Semasa proses mengambil keterangan itu, beliau ada  bertanya kepada polis apa jadi dengan kes penemuan RM51 juta yang ditemui dalam kediaman seorang penjawat awam Sabah.

“Mengapa saya tanya, kita tidak dengar pun perkembangan kes itu. Ianya jatuh senyap begitu sahaja.

“Saya diberitahu, betul atau tak, yang wang itu telah dirampas oleh SPRM dan kes itu, agaknya selesai,” ujar Shahrir. – MalaysiaGazette