KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung jemaah haji yang ditaja 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diarah memulangkan tajaan mereka.
SPRM berkata, ciapan tersebut adalah palsu yang ditular oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan imej suruhanjaya ini dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“SPRM memandang serius terhadap dakwaan berkenaan kerana ia boleh menimbulkan panik dan keresahan di kalangan masyarakat.
“SPRM ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menular ciapan palsu itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan menjalankan siasatan ke atas perkara berkenaan supaya tindakan tidak bertanggungjawab ini tidak berulang lagi,” demikan menurut kenyataan itu.
Laporan itu dibuat Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.
Ahad lalu, SPRM menafikan Latheefa ada membuat penafian itu di Twitter dengan tulisan ringkas ‘Ini adalah palsu!’ manakala gambar tangkap layar (screen shot) terbabit ditampal dengan perkataan huruf besar, ‘PALSU’
Penafian itu disiarkan pada jam 9.44 pagi dan sehingga jam 2.50 petang.
Penyebaran ‘screen shot’ palsu itu dipercayai dilakukan pihak yang cuba memburukkan kepimpinan Latheefa yang baru dilantik sebagai orang nombor satu SPRM.
Latheefa sebelum ini mengumumkan SPRM memfailkan permohonan lucut harta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Permohonan berkenaan dikemukakan kepada 41 penerima dan entiti lain yang dikaitkan dengan akaun bank peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu, membabitkan nilai RM270 juta. -MalaysiaGazette