Home Politik Berapa keluasan sebenar projek tambak laut di P. Pinang?

Berapa keluasan sebenar projek tambak laut di P. Pinang?

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Lee Boon Ten (tengah) dalam sidang media di Pulau Pinang hari ini.

PULAU PINANG – Ketika kerja-kerja tambak laut sedang rancak berjalan di beberapa kawasan perairan di negeri ini namun persoalan utama berapa keluasan sebenar projek berkenaan yang masih kekal misteri.

Apa yang lebih mengelirukan, Kerajaan DAP Pulau Pinang sendiri memberi angka berbeza berhubung keluasan tambak laut yang diluluskan tersebut.

Kawasan tambak laut yang dimaksudkan adalah projek Seri Tanjung Pinang 1 (STP1); Seri Tanjung Pinang 2 (STP2) dan Persiaran Gurney.

Menurut Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Lee Boon Ten, dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng mendakwa projek tambak laut itu melibatkan seluas 77 hektar kawasan laut.

Bagaimanapun, katanya, kekeliruan timbul apabila Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan negeri, Jagdeep Singh Deo baru-baru ini menyatakan hanya 53 hektar kawasan laut akan ditambak bagi projek tersebut.

Ujar beliau, perbezaan kira-kira 24 hektar kawasan tebus guna tanah itu melibatkan keluasan yang besar sekali gus menimbulkan persoalan dari sudut ketelusan pentadbiran kerajaan negeri.

“Apatah lagi kesemua kawasan yang mahu ditambak ini adalah hak milik penduduk negeri ini dan Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya lebih telus dalam mendedahkan perkara sebenar kepada rakyat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Boon Ten, ini bukan kali pertama pelbagai pihak mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai kekeliruan keluasan projek tambak laut tersebut.

Malah, Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo juga pada 14 Mac lalu turut memohon dokumen projek tambak laut itu mengikut Akta Kebebasan Maklumat (FOI) yang sepatutnya diperoleh awal bulan ini.

“Sebab itu jalan terbaik adalah Kerajaan DAP Pulau Pinang mendedahkan dokumen berkaitan projek tambak laut itu khususnya di Persiaran Gurney kerana penduduk negeri ini berhak mengetahui mengenainya ,” katanya.- MalaysiaGazette