SYDNEY – Kabus tebal telah menyebabkan hab penerbangan antarabangsa paling sibuk di Australia, Lapangan Terbang Sydney terpaksa menangguhkan dan membatalkan penerbangan pada pagi Sabtu.
Menurut jurucakap Lapangan Terbang Sydney, pada jam 8 pagi waktu tempatan (2200 GMT pada Jumaat), terdapat 10 penerbangan domestik dan antarabangsa terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan.
Terdapat penerbangan antarabangsa yang terpaksa ditangguhkan selama 30 minit dan para penumpang digesa untuk memeriksa waktu pelepasan dengan syarikat penerbangan masing-masing.
Seorang jurucakap Qantas memberitahu Reuters, syarikat penerbangan itu terpaksa melakukan perubahan jadual dan sedikit kelewatan namun tiada penerbangan antarabangsa yang dibatalkan.
Virgin Australia pula menjangkakan kelewatan bagi penerbangan masuk dan keluar dari Sydney sehingga tengahari nanti.
Mereka menasihati para penumpang untuk memeriksa status penerbangan masing-masing secara dalam talian. – Reuters