KUALA LUMPUR – Industri filem Tamil tempatan semakin matang dengan hasil karya yang bukan sahaja hebat malah kreatif menerusi jalan penceritaan lebih realitistik yang dapat diterima umum.
Terbaru, filem ‘Azhaggiye Thee’ terbitan AT Movies oleh Datuk Athy Muthoo merupakan contoh terbaik mengapa filem Tamil kini dilihat lebih matang.
Penghasilan filem filem tersebut bukan sahaja berdasarkan kisah benar, sebaliknya terdapat mesej tentang sindiket ‘keldai dadah’.
Hakikatnya, demi meraih RM5,000 hingga RM10,000 yang diupah sindiket itu, rakyat negara ini sanggup mengambil risiko berhadapan hukuman mati kerana menyeludup dadah ke luar negara.
Sedihnya apabila ada mangsa yang tidak tahu apakah sebenarnya ‘bahaya’ bakal dihadapi mereka kerana sindiket keldai dadah bijak mengatur langkah dan menggunakan emosi bagi memenangi hati mereka untuk melakukan kerja yang menyalahi undang-undang itu.
Itulah mesej yang cuba disampaikan dalam Azhaggiye Thee yang mula ditayangkan semalam.
Azhaggiye Thee mempertaruhkan banyak muka baharu yang berbakat.
Wartawan MalaysiaGazette yang berkesempatan menonton Azhaggiye Thee merumuskan ia merupakan filem yang wajib ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk melihat sendiri bagaimana sindiket penyeludupan manusia bagi jenayah dadah ini beroperasi.
Malah pengarahnya, Logan Nathan berjaya mengadun filem aksi romantik ini antara aksi dan elemen drama dengan cukup baik serta memberi kepuasan.
Subjek yang berkisar tentang dadah melalui cerita sebenar induvidu tertentu diolah dengan baik sambil memasukkan beberapa isu penting seperti kesusahan hidup, kekangan kewangan, hutang Ah Long yang menjadi realiti kehidupan masyarakat India di negara ini.
Malah apa yang menarik, kehidupan serta keadaifan yang masih lagi menghantui segelintir komuniti India, khususnya yang tinggal di estet sehingga memaksa mereka berhijrah demi sesuap nasi untuk mencari kehidupan lebih baik di bandar besar seperti Kuala Lumpur juga adalah gambaran sebenar apa yang berlaku pada hari ini.
Penulis berani katakan bahawa Azhaggiye Thee ini tidak terlalu menekankan sesuatu babak, sebaliknya ia diarah dan dihasilkan dengan bersahaja seiring dengan plot utamanya.
Naratif yang digunakan juga meninggalkan mood yang baik di sepanjang tayangan Azhaggiye Thee dengan elemen romantik, emosi, komedi serta suspen.
Tahniah juga kepada pelakon utamanya, Saresh D7 yang menampilkan lakonan bersahaja setaraf dengan bintang Kollywood, malah pelakon wanitanya, Latha berjaya membawa watak ‘gadis malang’ dengan baik.
Muzik hasil karya Jey Raggaveindra dengan dua buah lagu sudah cukup untuk membolehkan filem ini menjadi ‘hit’.
Para penonton pasti akan terkejut dengan transisi watak Saresh D7 pada akhir filem ini yang pada awalnya tenang dan romantik.
Pastinya tidak ada penyesalan menonton Azhaggiye Thee, sebaliknya satu kepuasan dikecapi menerusi keinsafan tentang realiti kehidupan seseorang pada masa ini.
Azhaggiye Thee ditayangkan semalam dii lebih 27 pawagam dengan penerbit dan penulis skrip bersama, Datuk Athy dikatakan telah mengambil risiko menayangkan filem ini bersama-sama dua filem Kollywood dari India lakonan Vijay Sethupathi Sindhubad dan Dharmaprabu oleh Yogi Babu pada hari sama.
Bagaimanapun, Athy yakin filem Azhaggiye Thee mampu menempatkan diri di hati penonton dan tidak seharusnya bimbang perlu bersaing dengan nama-nama besar. –MalaysiaGazette