KUALA LUMPUR – Kemelut mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak berkesudahan apabila ia ditangguhkan hari ini.
Timbalan Presiden MPM, John Ng berkata, AGM bagi penggal 2019-2023 itu ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat persetujuan sebulat suara semua 24 ahli gabungan MPM.
“Pada mesyuarat hari ini, semua ahli gabungan telah bersetuju untuk menangguhkan AGM ini sementara mendapat tarikh yang baharu yang akan dikemukakan kepada Pesuruhjaya Sukan.
“Kami akan mengadakan AGM baharu bergantung permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan. Selepas itu kami akan mengikut perlembagaan dan memulakan proses semula,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan AGM itu yang berlangsung secara harmoni selama dua jam di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kg Pandan hari ini.
Berdasarkan perlembagaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh penangguhan, MPM perlu memanggil semua ahli gabungan untuk membincangkan tarikh baharu sebelum diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan.
“Mesyuarat exco akan dilangsungkan dalam tempoh 30 hari untuk memutuskan tarikh baharu AGM,” katanya.
Ditanya mengenai status pencalonan bagi pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif badan induk sukan para itu, John bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Pada mesyuarat yang berlangsung pada 10 pagi, penyandang jawatan Presiden SM Nasarudin SM Nasimuddin tidak kelihatan.
Begitu juga dengan kedua-dua calon jawatan nombor satu MPM, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan pencabarnya Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin tidak kelihatan.
Difahamkan, Megat Shahriman menghadiri pemilihan Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dan memenangi kerusi presiden persatuan itu.
Kerusi nombor satu MPM itu hangat diperbedatkan apabila Khairy atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Roda mencetuskan kontroversi apabila turut dikaitkan dengan menghantar borang pencalonan melebihi tempoh dibenarkan.
Perkara itu menyebabkan rasa tidak puas hati Megat Shahriman menyerahkan sejumlah bukti kepada PJS bagi menyemak semula kelayakan bekas Menteri Belia dan Sukan itu. – Bernama