Home Nasional Tempoh kempen pemilikan rumah dilanjut sampai Disember

Tempoh kempen pemilikan rumah dilanjut sampai Disember

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Tempoh Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan dilanjutkan sehingga Disember ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia ekoran permintaan dan sambutan yang baik dari para pembeli perumahan.

“Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat permintaan dan cadangan yang kuat dalam kalangan para pembeli dan syarikat-syarikat pemaju agar tempoh kempen ini dilanjutkan sehingga Disember 2019 daripada sasaran asal iaitu hanya sehingga Jun 2019.

HOC telah mula dijalankan atas inisiatif bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak Januari tahun ini.

Kempen yang dilancarkan sendiri oleh Perdana Menteri ini telah mendapat sambutan yang baik dari pembeli-pembeli rumah dan syarikat pemaju perumahan.

“HOC ini dengan kerjasama Persatuan Pemaju Perumahan seperti REHDA, SHAREDA dan SHEDA ini telah memberi manfaat kepada pembeli-pembeli unit rumah baharu dengan menawarkan pengecualian terus duti setem atau pengurangan duti setem yang bergantung kepada harga unit sesebuah rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, menurut Zuraida, tambahan potongan harga 10 peratus berdasarkan harga permit iklan dan jualan asal atau harga jualan juga dapat dinikmati pembeli.- MalaysiaGazette