SUNGAI BULOH -Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad hari ini mengumumkan pemberian dividen pada kadar 10 peratus untuk tahun kewangan 2018.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu selaku penaung koperasi berkenaan telah mengumumkan berita baik itu yang telah dipersetujui lembaga koperasi.
Katanya, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia telah mengekalkan prestasi kewangan positif dengan pendapatan bersih berjumlah RM313.5 juta dan keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM184.3 juta.
“Pada pagi ini sukacitanya saya ingin mengumumkan bahawa Lembaga Koperasi telah bersetuju untuk mengisytiharkan pemberian dividen pada kadar 10 peratus bersamaan RM 145 juta untuk tahun kewangan 2018 melibatkan seramai 154,620 anggota.
“Manakala bagi simpanan anggota, jumlah keuntungan yang dibayar ke atas simpanan anggota dalam tahun 2018 adalah RM13.6 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad Ke-54 di Dewan PERHEBAT di Kem Sungai Buloh di sini hari ini.
Turut hadir ke Majlis Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Datuk Zulkiflee Mazlan.
Kata Mohamad, pemberian dividen 10 peratus membuktikan koperasi tentera masih mampu memberikan pulangan yang tinggi secara konsisten kepada anggotanya walaupun sedang berhadapan dengan keadaan ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.
Tambah beliau, pendapatan bersih RM313.5 juta dan keuntungan sebelum cukai dan zakat tetapi selepas tolak kos operasi adalah RM184.3 juta.
Bagi tahun kewangan 2017 Koperasi Tentera merekodkan pendapatan bersih RM313.2 juta sebelum cukai dan zakat dan memberikan dividen 10 peratus juga untuk anggotanya.
Justeru Mohamad juga meluahkan rasa bangga dan mengucapkan syabas kepada seluruh warga anggota dan pengurusan koperasi tentera atas pencapaian tersebut.
Katanya, koperasi tentera kini dalam fasa untuk mengukir identiti baharu bagi mendorong pertumbuhan ke peringkat yang lebih tinggi iaitu melibatkan perniagaan berasaskan platform digital.
“Terbaharu saya dimaklumkan bahwa koperasi tentera telah memperkenalkan pembiayan kepada segmen pasaran bukan anggota khususnya kepada pasaran industri perniagaan kecil dan sederhana dan koperasi berdaftar yang layak.
“Produk yang diperkenalkan ialah termasuklah pembiayaan berjangka, pembiayaan kontrak pembiayaan modal dan lain lain lagi.
“Selari objektif koperasi tentera yang sentiasa mementingkan kebajikan anggotanya, saya turut dimaklumkan sejumlah RM2 juta setiap tahun diperuntukan untuk aktiviti kebajikan melalui skim kebajikan dan sumbangan yang diadakan dan sepanjang tahun 2018 seramai 3,500 anggota bermanfaat melalui bantuan pendidikan dan derma am,” ujarnya.
Dalam majlis sama, beliau turut memperkenalkan Koperasi Tentera Online (KT-Online) perkhidmatan Dalam Talian dan aplikasi perbankan muda alih.
KT Online bertujuan untuk membantu anggota koperasi yang berada jauh dari cawangan atau bandar untuk berurusan secara perkhidmatan dalam digital yang pertama kali diperkenalkan di negara ini.
Anggota koperasi boleh mencapoai maklumat akaun pada waktu sebenar termasuk semakan akaun, pindahan dana secara elektronik antara akaun KT dan akaun perbankan anggota dengan mudah disamping boleh melanggan produk pembiayaan dan insurans KT melalui aplikasi digital itu.- MalaysiaGazette