MARAN – Kedah mara ke final Piala FA 2019 menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan walaupun tewas 2-3 kepada Felda United di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini malam tadi.
Selepas mencatatkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada minggu lalu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 secara agregat, sekali gus Kedah menempah tiket menerusi kelebihan jaringan.
Skuad Lang Merah, yang merupakan juara empat kali bakal dicabar oleh juara dua kali, Perak yang bangkit menewaskan Pahang 4-3 secara agregat di Ipoh, kelmarin untuk aksi ‘derbi utara’.
Felda United terlebih dahulu cuba mengancam gawang Kedah melalui tendangan kencang Jocinei Chad dari luar kotak penalti pada minit ketujuh, namun ia sedikit tersasar melewati tiang gol.
Pada minit ke-24, Kedah berjaya membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Fernando Rodriguez Ortega selepas bola terkena tangan pemain skuad ‘The Settlers’.
Pada minit ke-37, skuad Lang Merah menokok jaringan melalui Muhammad Farhan Roslan dengan sepakan derasnya dari dalam kotak penalti. Bermula pada babak kedua, Felda United lebih agresif mengatur serangan bagi mengurangkan defisit gol.
Pada minit ke-64, usaha mereka membuahkan hasil apabila Thiago Junio Aquino meledakkan gol pertama untuk Felda United menerusi rembatan kencangnya.
Pada minit ke-71, S. Chanturu pula berjaya mencetak gol kedua Felda United dengan tendangan cantiknya dari luar kotak penalti, menjadikan keputusan seri 2-2.
Pada minit ke-93, Felda United berjaya mendahului perlawanan melalui jaringan Muhammad Hadin Azman sebelum wisel penamat ditiupkan. – MalaysiaGazette