Home Nasional Pengecualian bayaran keperluan pelajar India bukan pertama kali

Pengecualian bayaran keperluan pelajar India bukan pertama kali

KUALA LUMPUR –  Program Inisiatif Meningkatkan Enrolmen Pelajar Belia India di Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (PSMB-ILJTM) yang memberi pengecualian bayaran keperluan, bukan pertama kali dilaksanakan kerajaan, kata Kementerian Sumber Manusia.

Mengulas ketidakpuasan hati sesetengah pihak terhadap pengecualiaan bayaran itu, kementerian itu dalam kenyataan hari ini berkata kerajaan pernah melaksanakan program berkenaan dari tahun 2013 hingga 2015 melibatkan agensi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Katanya sepanjang tempoh itu, peruntukan khas berjumlah RM11.6 juta telah disediakan bagi meningkatkan penyertaan belia India dalam program TVET dengan keseluruhan kos dibiayai kerajaan seperti elaun saku, makan dan minum, asrama, bahan latihan dan yuran pengajian di peringkat diploma.

“Seramai 671 pelajar belia India telah mendaftar di ILJTM untuk program ini dan seramai 545 orang telah menamatkan pengajian dengan jayanya,” katanya.

Isu itu tular di media sosial susulan ketidakpuasan hati ibu bapa pelajar lain terhadap pengecualian bayaran keperluan kepada pelajar India yang mendaftar di ILJTM hari ini.

Kementerian itu berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan tahun ini bagi menambah penyertaan bilangan belia India menyertai bidang TVET, melibatkan sasaran seramai 2,000 orang.

“Peruntukan ini akan disalurkan kepada Akaun Amanah setiap ILJTM yang terlibat di mana jumlah yang akan disalurkan kepada Jabatan Tenaga Manusia berjumlah RM3.5 juta,” katanya.

Menurut KSM, bagi kursus jangka panjang, bayaran keperluan sahaja yang dikecualikan bagi pelajar baharu India (diploma dan sijil) tetapi mereka masih perlu memohon pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk mengikuti program diploma sepenuh masa.

“Pelaksanaan kursus sijil adalah percuma kerana kerajaan menanggung keseluruhan kos seperti elaun saku, makan dan minum, asrama dan bahan latihan,” katanya.

KSM berkata sehingga hari ini, seramai 356 belia India telah menjalani kursus jangka pendek dan dijangkakan 218 pelajar lagi akan mendaftar untuk kursus sepenuh masa (diploma dan sijil) bagi sesi Julai 2019.

Dalam pada itu, KSM juga sedang dalam proses mendapatkan kelulusan bagi pengecualian bayaran keperluan di ILJTM kepada pelajar dari keluarga B40 dan belia Orang Asli. – MalaysiaGazette