Home Dunia AirAsia tambah lima laluan domestik Indonesia

AirAsia tambah lima laluan domestik Indonesia

JAKARTA – AirAsia mengulangi komitmen kukuhnya dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti dan mampu milik dengan melancarkan lima lagi laluan domestik di Indonesia.

AirAsia Indonesia (kod penerbangan QZ) akan memulakan operasi di lima laluan baharu tersebut bermula 1 Ogos ini.

Lima laluan pergi-balik itu adalah Jakarta-Lombok (11 penerbangan seminggu), Bali-Lombok (tujuh penerbangan seminggu), Yogyakarta Kulon Progo- Lombok (tiga penerbangan seminggu), Bali- Labuan Bajo (tujuh penerbangan seminggu dan Surabaya- Kertajati (tiga penerbangan seminggu).

Penambahan laluan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan AirAsia dalam menyokong industri pelancongan Indoensia sekali gus mengukuhkan ekonomi negara menerusi peningkatan kesalinghubungan di antara destinasi-destinasi domestik.

Menurut Pengarah Presiden AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan, syarikat penerbangan tambang murah itu sudah lama berminat untuk meluaskan laluan domestik mereka di dalam Indonesia.

“Sejak hab AirAsia terbaharu di Lombok dilancarkan awal Mei lalu ditambah dengan pesawat Airbus A320 ke-25 kami, AirAsia kini sudah bersedia untuk menghubungkan lebih banyak destinasi utama di Indonesia dan menyokong industri pelancongan serta ekonomi secara keseluruhannya,” katanya. – MalaysiaGazette