KUALA LUMPUR – Impian pelakon Amyra Rosli untuk menambah zuriat tercapai apabila dia hamil anak kedua.
Berita itu diumumkan suaminya yang juga pelakon Amar Baharin di Instagramnya sebentar tadi.
Amar menyifatkan rezeki itu menjadi hadiah paling bermakna sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-34, hari ini.
Dia turut berkongsi berita gembira itu dengan memuat naik foto isterinya bersama alat ujian kehamilan di Instagram, beberapa jam lalu.
Menerusi keterangan gambar yang disertakan, Amar meluahkan rasa syukur atas rezeki paling menggembirakan yang diberikan Allah SWT.
Entri berkenaan turut menerima dibanjiri ucapan tahniah daripada teman artis dan pengikut pasangan yang sebelum ini dikurniakan anak lelaki, Aqeef Anaqi.
Sebelum ini, Amyra atau nama lengkapnya Nur Amyra Izzati Rosli berkata, dia tidak pernah merancang soal anak sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada ketentuan rezeki.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada November 2016 dan dikurniakan anak sulung pada 15 Oktober 2017. – MalaysiaGazette