Home Politik Pertikai Zahid kembali boleh gugat kesatuan akar umbi – Imran

Pertikai Zahid kembali boleh gugat kesatuan akar umbi – Imran

Datuk Mohd Imran Tamrin
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2017.

KUALA LUMPUR – Keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menamatkan cutinya dan kembali bertugas menerajui UMNO tidak perlu dipertikai sama ada oleh kepimpinan mahupun akar umbi parti itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Mohd Imran Tamrin menegaskan, tindakan Ahmad Zahid tidak bercanggah Perlembagaan dan selaras dengan kehendak perwakilan parti itu.

“Kami menyokong penuh serta mengalu-alukan keputusan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menamatkan cuti dan kembali menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.

“Ini adalah hak mutlak beliau sebagai presiden yang telah dipilih serta mendapat mandat daripada perwakilan ketika pemilihan parti yang lepas.

“Perkara ini tidak perlu dibahas dan menjadi polemik yang boleh menggugat kesatuan ahli-ahli akar umbi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Ahmad Zahid yang mengumumkan menamatkan cutinya sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas Presiden UMNO berkuatkuasa, semalam.

Perkara itu diumumkan Ahmad Zahid ketika Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Perak, semalam.

Sebaliknya Mohd Imran mengajak kesemua ahli UMNO agar kekal fokus kepada merealisasikan agenda penyatuan ummah antara parti itu dengan Pas.

“Dalam masa sama kita perlu terus berkhidmat mendekati ahli serta rakyat dan menjadi suara alternatif dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Kita perlu sedar bahawa rakyat semakin terhimpit dengan dasar-dasar regim Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membebankan baik dari segi ekonomi, pendidikan, bumiputera, Islam mahupun moral.

“Untuk itu, marilah kita sama-sama rapatkan saf dan terus berusaha untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti kita dan memacu parti untuk terus mara ke hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette