SAN FRANCISCO – Facebook Inc menutup empat bangunan dan dua kakitangannya sedang diperiksa untuk kemungkinan pendedahan kepada agen sarin saraf selepas satu bungkusan di kemudahan mel miliknya di Silicon Valley didapati positif bagi toksik tersebut.
Individu yang menyentuh bungkusan tersebut kira-kira pukul 11 pagi tidak menunjukkan apa-apa gejala terhadap pendedahan kepada sarin, kata Jon Johnston, ketua bomba di bandar Menlo Park.
“Kemudahan (Facebook) menguji semua bungkusan yang ada dan mereka mendapati ada yang positif, jadi mereka hanya memulakan protokol piawai mereka. Sekarang kita hanya menunggu untuk mengesahkan sama ada itu benar atau tidak,” katanya.
Jurucakap Facebook, Anthony Harrison berkata, syarikat itu telah mengosongkan empat bangunan berikutan ujian positif dan bekerjasama dengan polis dalam siasatan.
“Pihak berkuasa belum mengenal pasti bahan yang ditemui. Sekarang, tiga bangunan telah dikosong dan dibersihkan,” katanya.
Agen dari Biro Siasatan Persekutuan di San Francisco sudah bertindak terhadap kejadian itu, kata jurucakap agensi itu.
Sarin, sebatian toksik kuat yang boleh mengganggu sistem saraf, telah digunakan sebagai senjata kimia. Pendedahannya boleh membawa maut. – MalaysiaGazette