Home Utama Mokhtar tarik diri jadi ahli PPK siasat kes Koh, Amri

Mokhtar tarik diri jadi ahli PPK siasat kes Koh, Amri

Datuk Mokhtar Mohd Noor
Datuk Mokhtar Mohd Noor

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Mokhtar Mohd Noor menarik diri secara sukarela daripada menjadi ahli Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menyiasat kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

Dalam satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, keputusan tersebut dibuat oleh Mokhtar atas rasa tanggungjawab bagi memelihara integriti dan ketelusan pasukan berkenaan ekoran persoalan yang ditimbulkan pihak-pihak tertentu terhadap keanggotaannya di dalam pasukan itu.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah mempersoalkan pelantikan beliau sebelum ini kerana beliau dipercayai terlibat secara langsung dalam kedua-dua kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat.

“Dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali kerana beliau bukan merupakan saksi atau pegawai yang menyiasat kedua-dua kes ini,” katanya kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, pelantikan Mokhtar dibuat berdasarkan profesionalisme dan kepakarannya sebagai bekas Ketua Bahagian Perundangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpengetahuan luas berkaitan isu perundangan PDRM serta boleh membantu PPK menjalankan fungsinya.

Tambah kenyataan itu, KDN mengucapkan ribuan terima kasih kepada Mokhtar di atas komitmennya untuk membantu mencari keadilan kepada keluarga mangsa selain kesanggupan untuk mengambil kira pandangan awam mengenai keahlian beliau dalam PPK agar tidak menjejaskan kredibiliti siasatan dan hasil laporan yang akan dikemukakan nanti.

KDN turut memaklumkan pelantikan ahli baru PPK sebagai pengganti Mokhtar akan dibuat dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelantikan Mokhtar dalam pasukan itu tidak akan menjejaskan kredibiliti siasatan.

Katanya, Mokhtar hanya hadir dalam satu sesi ketika inkuiri menyiasat kehilangan kedua-dua individu berkenaan yang dijalankan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan tidak terbabit secara langsung.

Muhyiddin mengumumkan PPK ditubuhkan dengan membabitkan enam anggota yang diketuai bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abd Rahim Uda.

PPK turut dianggotai Mokhtar, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya; Pengarah Bahagian Operasi, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Selain itu, Pegawai Undang-undang Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Mohd Sophian Zakaria dan Setiausaha Bahagian Suruhanjaya Pasukan Polis KDN ,Mohd Russaini Idrus. – MalaysiaGazette