Home Nasional Usul PH desak MP isytihar harta umpama ‘ekspidisi memancing’

Usul PH desak MP isytihar harta umpama ‘ekspidisi memancing’

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bercakap kepada media di lobi Parlimen. foto AFFAN FAUZI, 02 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa usul mewajibkan semua anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diibaratkan sebagai ‘fishing expedition’ atau ekspidisi memancing yang mengharapkan sesuatu.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan yang dilakukan kerajaan PH itu adalah tidak masuk akal.

“Saya dimaklumkan sebelum usul itu dibawa ke Dewan Rakyat semalam bahawa masih terdapat 12 anggota Parlimen PH yang masih belum mengisytiharkan harta mereka.

“Manakala 22 lagi tidak mengisytiharkan lagi harta yang dimiliki ahli keluarga mereka dan ia termasuklah seorang Senator yang merupakan Timbalan Menteri.

“Meminta pembangkang isytihar harta umpama fishing expedition. Kamu harus menjadi contoh dan membuktikan kepada kami bahawa kalau kamu ikhlas dan buktikan apa yang cuba dilakukan adalah telus.

“Sebab, kamulah dalam kuasa sekarang, bukan kami dan atas sebab apa kamu nak memancing aset kami,” kata beliau kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau kerajaan PH harus membuktikan terlebih dahulu pendirian mereka.

“Jadi apa alasan di sebalik tindakan (isytihar harta) itu kecuali ia adalah ‘ekspidisi memancing’ bagi saya.

“Kami bukan lagi dalam kedudukan untuk melakukan sesuatu yang mempengaruhi mana-mana pihak (niat jahat).

“Aset atau harta yang kami miliki boleh disiasat SPRM dan kami boleh isytiharkan aset kami kepda pengutip cukai (Lembaga Hasil Dalam Negeri) tapi apa tujuan pelaksanaan usul ini, tidak masuk akal langsung bagi saya,” katanya.

Semalam usul mewajibkan semua ahli Parlimen Dewan Rakyat mengiaytiharkan harta mereka dibentang dan diluluskan.- MalaysiaGazette