Home Utama RUU355 dibentang Abdul Hadi tak perlu izin Majlis Raja-Raja – Pandikar

RUU355 dibentang Abdul Hadi tak perlu izin Majlis Raja-Raja – Pandikar

Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR – Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjelaskan, tidak perlu keizinan daripada Majlis Raja-Raja untuk meminda rang undang-undang persendirian sebagaimana yang dibuat oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mengusulkan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355.

Speaker Dewan Rakyat itu berkata, ini bukan kali pertama RUU355 diusulkan untuk dipinda. Ia pernah berlaku pada tahun 1965 dan 1984, malahan ketika itu bekas timbalan perdana menteri Tun Dr Ismail Abdul Rahman juga hadir semasa pindaan itu diluluskan.

“Pada tahun 1965, mula-mula rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen, antara lain yang hadir di Parlimen ini adalah ayahanda kepada (Tawfik Mohamed) yang saman saya dan setiausaha, bapanya duduk disini.

“Selepas itu pindaan dibuat beberapa kali antaranya pada Oktober 1984, tidak perlu ada consent (izin) Majlis Raja-Raja oleh kerana akta sudah ada selepas itu hanya perlu buat amendment (pindaan) sahaja,” kata Pandikar di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, sebelum usul Abdul Hadi itu dibentang, sidang dewan bertukar panas apabila pemimpin blok pembangkang, PKR dan DAP bangun mempersoalkan langkah Pandikar Amin membenarkan usul Presiden Pas itu dibentang.

Ahli Parlimen PKR, Gooi Hsiao-Leung bangun mempertikaikan usul tersebut kerana Mohamed Tawfik, anak kepada Tun Dr Ismail sudah mengemukakan perintah mahkamah kepada Pandikar semalam untuk menghalang usul itu daripada dibentang.

Pandikar Amin juga menafikan keputusannya membenarkan rang undang-undang itu dibentang hari ini dibuat secara melulu, malah sudah pernah berlaku sebelum ini.

Dalam pada itu, Pandikar juga menjelaskan laluan diberikan kepada Abdul Hadi memandangkan sudah mendapat izin daripada pihak kerajaan dan selari dengan Peraturan Mesyuarat 15.

“Saya mesti memastikan ada consent daripada kerajaan, maka kita terima satu surat bahawa saya diberitahu kerajaan memaklumkan kepada saya untuk memutuskan supaya semua rang undang-undang dalam usul kerajaan diselesaikan pada Rabu.

“Di samping itu bagi Aturan Mesyuarat pada Khamis 6 April, terserah kepada Tan Sri Dipertua untuk tentukan Majlis Mesyuarat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 15 (2), jadi itu kehendak kerajaan, saya bukan buat precedent bahawa saya melanggar peraturan mesyuarat 15 (2),” terang Pandikar lagi.

Menjelaskan lebih lanjut mengapa rang undang-undang tersebut tidak dibahas semasa dua sidang lalu, Pandikar berkata, Abdul Hadi meminta untuk membuat pembetulan bagi menambah huraian berhubung pindaan yang dibawanya.

Usul dikemukakan Abdul Hadi mahu meninggatkan hukuman maksimum kesalahan syariah daripada penjara 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000 dan 6 sebatan rotan kepada 100 sebatan.

Usul kekal menjadi usul peribadi selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lepas mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan ia sebagai rang undang-undang kerajaan, atas dasar konsensus dalam Barisan Nasional.

Sidang mesyuarat pertama Dewan Rakyat bagi penggal ke-5 Parlimen ke-13 akan berakhir hari ini. – MalaysiaGazette