KUALA LUMPUR – Beberapa pemimpin pembangkang disifatkan gagal memahami usul mewajibkan semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof berkata, sikap beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang cuba menolak usul berkenaan daripada diluluskan dilihat seolah-olah mereka tidak faham tujuan utama ia dibawa ke Dewan Rakyat.
“Saya nampak mereka gagal memahami tujuan utama usul ini dan agak malang kerana dengan penolakan itu seolah mereka tidak berseedia untuk berada dalam landasan telus dan integriti dalam menjalankan tugas mereka.
“Lebih malang lagi saya ingin tegaskan kekesalan saya mereka mengambil alasan menggunakan hadis-hadis antara lain menyatakan tidak boleh tunjuk (harta) kerana akan berlaku dengki mendengki.
“Saya rasa ini jauh kepada sasaran, sebab tujuan khusus. Kita tak kata semua rakyat kena isytihar, kita hanya kata Ahli Parlimen. Mereka isytihar itu di hadapan speaker dan orang boleh tengok.
“Bukan soal takut orang dengki, malangnya dia guna hadis yang ni saya amat sedih, sebab bila dia guna hadis dia menggambarkan Islam tidak telus. Dia menggambarkan Islam tak mahu tahu harta ada berapa (diketahui umum),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Semarak Syawal di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Mengulas lanjut Mujahid berkata, Islam sememangnya menyuruh pemimpin dan ahli politik menjelaskan harta yang mereka ada secara jujur.
Isnin lalu, Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing.
Perkara itu diluluskan selepas dibahaskan oleh 26 Ahli Parlimen.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, memaklumkan usul itu diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan termasuk daripada Ahli Parlimen pembangkang.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mujahid memberikan reaksi positifnya terhadap titah nasihat Raja-Raja Melayu agar rakyat Malaysia menghentikan segera penyebaran berita fitnah yang tidak ditentukan kesahihannya.
Katanya, nasihat yang disampaikan oleh duli-duli tuanku yang bersidang perlu disambut baik dan perlu diberi perhatian serius.
Tambahnya, beliau yakin nasihat disampaikan Raja-Raja Melayu itu juga datang di atas kesedaran yang menjadi fokus fitnah berkaitan isu-isu berkaitan Islam dan Melayu serta menjadi tanggungjawab rakyat Malaysia khususnya orang Melayu Islam untuk tidak terpengaruh dengan budaya tersebut hingga boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan yang akhirnya menjejaskan keharmonian dan perpaduan dalam negara. – MalaysiaGazette