KUALA LUMPUR – Saksi ke-42 prosiding SRC International melibatkan penyewelengan RM42 juta, Datuk Suboh Md. Yassin banyak menyatakan diri tidak tahu menahu berkaitan perjalanan syarikat tersebut ketika masih menjawat jawatan pengarah bukan eksekutif.
Antara yang diberitahu oleh Suboh ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh yang beliau tidak tahu tentang wujudnya akaun ‘rahsia’ Ambank yang nombor akhirnya 736.
Akaun AMbank itu telah menerima dana sebanyak RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada tahun 2011 namun Suboh mengatakan dirinya langsung tidak tahu kewujudan akaun itu.
Sebelum ini, beberapa saksi telah mendedahkan RM2 bilion dimasukkan ke dalam akaun berkenaan pada 29 Ogos 2011.
Malah Suboh mendakwa tidak pernah sekalipun melihat kenyataan transaksi berkaitan dengan akuan Ambank yang berkahir dengan nombor 736 itu.
Transaksi lain antara Januari 2011 sehingga 31 Ogos 2015 juga kata Suboh tidak diketahuinya.
Suboh juga mengakui dirinya tidak tahu atau mengenali pengurusan lain dalam syarikat selain daripada ketua eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil dan pengarah urusannya sahaja.
Kata Suboh lagi, eliau tidak juga tahu bagaimana Tan Sri Ismee Ismail dilantik menjadi Pengerusi SRC International.
Ketika soal balas, Suboh juga mendedahkan dirinya tidak pasti dan tahu mengapakah pelantikan Nik Faisal sebagai Ketua Eksekutif SRC International tidak diperbarui pada tahun 2014 walaupun ketika itu Suboh masih bergelar Pengarah SRC.
Suboh juga walaupun mengakui pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Pengarah 1MDB, Terence Geh namun tidak pula tahu lelaki itu juga sebahagian SRC International.
Harvinderjit: Sama seperti Nik Faisal, anda juga tidak tahu mereka semua ini.
Suboh: Terdapat ramai kakitangan di pejabat tetapi saya tidak tahu apa yang mereka lakukan di sana.
Prosiding bersambung sebentar tadi selepas Datuk Seri Najib Razak dibenarkan hadir ke Parlimen bagi menghadiri taklimat dan kembali ke mahkamah dalam tempoh satu jam. –MalaysiaGazette