Home Nasional Pengambilan 5% pelajar asing dalam perubatan berkuatkuasa serta merta

Pengambilan 5% pelajar asing dalam perubatan berkuatkuasa serta merta

S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Pengambilan lima peratus pelajar luar negara dalam pengajian perubatan di Universiti Awam (UA) negara ini berkuatkuasa serta merta.

Ia susulan daripada pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa melakukan lawatan kerja ke India baru-baru ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, pelajar terbabit akan membayar kos pengajian perubatan sepenuhnya, tanpa sebarang subsidi seperti yang dinikmati pelajar tempatan.

“Niat PM adalah untuk mempelbagaikan populasi pelajar yang ada untuk mendedahkan diri dengan pelbagai budaya di rantau ini termasuk di Malaysia.

“Ia juga salah satu usaha secara tidak langsung akan meningkatkan pendapatan negara dalam sektor pendidikan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Kuala Lumpur yang baharu di Jalan Fletcher di sini.

Sementara itu, Subramaniam berkata, pihaknya sedang menunggu sampel ujian makmal ke atas 10 produk Stevia yang didapati palsu hasil kajian dua universiti tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah sebelum ini mengakui kementerian berkenaan sedang menyiasat perkara itu secara serius ekoran hasil ujian makmal dua institusi pendidikan tersebut. – MalaysiaGazette