Home Nasional Belum ada aduan usahawan minuman soda terjejas

Belum ada aduan usahawan minuman soda terjejas

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berucap pada Perasmian Konvensyen 3PTEB dan Pelancaran Rizqmall di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan masih belum menerima sebarang aduan mahupun laporan tentang kesan pelaksanaan cukai ke atas minuman bergula dalam kalangan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS).

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, ia masih terlalu awal untuk menentukannya meskipun beliau akur usahawan yang mengeluarkan produk minuman berasaskan gula mungkin berdepan risiko terbabit.

“Hari ini saya belum menerima maklum balas sama itu (cukai minuman bergula) menjejaskan pembuat atau usahawan yang melibatkan pengeluaran barangan dengan penggunaan gula.

“Saya tak dapat maklum balas, kalau ada aduan, pengesahan atau pun tidak puas hati, belum dengar lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Konvensyen 3PTEB 2019, Penyerahan Blue Print 3PTEB dan portal hypermarket dalam talian, Rizqmall.my hari ini.

Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap kepada media pada Perasmian Konvensyen 3PTEB dan Pelancaran Rizqmall di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 03 JULAI 2019

Hadir sama Presiden Pertubuhan Pemerkasaan & Transformasi Ekonomi Malaysia, Haris Fadzlah Mat Ali.

Beliau mengulas pelaksanaan duti eksais (cukai soda) minuman bergula yang dikuatkuasakan pada 1 Julai 2019.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat pada tahun lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019.

Menurut Guan Eng, kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.

Ia melibatkan minuman bergula tambahan atau bahan pemanis melebihi 5 gram per 100 mililiter; serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter. – MalaysiaGazette