KUALA TERENGGANU – Keadaan Pasar Payang 2 yang bakal beroperasi Julai ini, terletak bersebelahan Sungai Terengganu, mampu memberi kenangan menarik kepada pengunjung kerana ia bersih, teratur dan selesa.
Lokasi pasar baharu itu juga tidak jauh dari Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang), namun berbanding pasar sebelum ini, Pasar Payang 2 menyediakan ruang niaga yang lebih luas dengan 762 lot kedai dan kemudahan lain seperti tandas serta surau.
Peniaga diarahkan berpindah sementara ke lokasi tersebut berikutan keputusan kerajaan negeri untuk melakukan beberapa penambahbaikan terhadap Pasar Payang yang telah dibina sekitar tahun 1960-an itu.
Tinjauan Bernama di Pasar Payang 2 baru-baru ini mendapati kerja-kerja mengubahsuai dan menambah baik lot kedai oleh para peniaga sedang giat dilakukan bagi membolehkan mereka berpindah dengan segera.
Seorang peniaga kain batik dan sutera, Syed Ahmad Shahrom Syed Othman, 40, berkata walaupun bangunan tersebut telah siap, peniaga masih perlu membuat beberapa penambahbaikan atas faktor keselamatan.
Beliau yang berniaga bersama ibunya, Rubiah Abdul Rahman, 62, berkata jaring besi yang dipasang sebagai atap perlu diganti dengan siling kayu bagi mengelak kedai dipecah masuk dengan mudah.
“Kontraktor hanya pasang jaring besi sebagai atap memandangkan lot kedai ini terletak dalam bangunan dan memanglah tidak terkena hujan.
“Tetapi aspek yang mereka terlepas pandang ialah isu keselamatan kerana jaring besi seperti ini pencuri boleh panjat dan mudah sangat untuk mereka pecah masuk,” katanya ketika ditemui Bernama di Pasar Payang 2.
Selain itu, Syed Ahmad Shahrom berkata pemasangan siling itu juga amat perlu bagi mengelak barang jualan rosak sekiranya terkena tempias hujan memandangkan kedudukan kedainya di bahagian paling tepi dan berhampiran sungai.
Seorang lagi peniaga pakaian, Yusman Mohamad, 45, berkata dia memperuntukkan wang kira-kira RM2,000 untuk mengupah tukang memasang siling dan membina beberapa rak kecil di kedainya.
Beliau berkata ruang kedai yang agak sempit di Pasar Payang 2 memerlukan peniaga melakukan susun atur dengan teliti dan bijak bagi memuatkan barangan jualan yang banyak.
“Keluasan sebelum ini ialah sekitar 14×14 kaki (4.27 x 4.27 meter) berbanding di Pasar Payang 2 yang hanya 10×10 kaki (3.05 x 3.05 meter). Jadi saya rancang untuk bina rak kecil secara bertingkat-tingkat untuk memuatkan lebih banyak pakaian di dalam kedai.
“Jaring juga perlu diganti kerana mana tahu terkena najis burung yang tersesat terbang masuk ke dalam kerana ia berkonsep bangunan terbuka,” katanya yang sudah berniaga lebih 10 tahun.
Namun begitu Yusman berkata beliau tidak begitu gusar kerana keadaan itu hanya bersifat sementara dan apabila pembinaan Pasar Payang baharu siap dalam tempoh dua tahun lagi, perniagaannya dapat beroperasi dalam keadaan jauh lebih baik.
Sementara itu, seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd berkata beliau serta rakan-rakan lain berharap supaya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengenakan bayaran sewa yang lebih rendah berbanding Pasar Besar Kedai Payang kerana ruangnya lebih sempit dan sambutan daripada pembeli juga belum diketahui.
“Saya jangka dapat pindah masuk ke Pasar Payang 2 pada pertengahan Julai ini dan pelanggan tetap juga sudah dimaklumkan.
“Setakat ini kadar sewa belum dimaklumkan lagi tetapi saya minta jasa baik MBKT untuk tetapkan harga berpatutan kerana kita belum tahu lagi bagaimana sambutan pengunjung di tempat baharu,” katanya yang berniaga barang-barang runcit.
Walaupun terpaksa melakukan penambahbaikan, tinjauan mendapati rata-rata peniaga teruja untuk memulakan perniagaan di tempat baharu kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak dan berdepan dengan masalah seperti atap bocor.
— BERNAMA