Home Politik Penjualan saham UMNO dalam Media Prima sulit, bukan untuk pengetahuan umum

Penjualan saham UMNO dalam Media Prima sulit, bukan untuk pengetahuan umum

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, mengunci mulut mengenai penjualan saham sebanyak 11.09 peratus milik parti itu dalam syarikat Media Prima Bhd kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Beliau hanya memaklumkan bahawa UMNO kini sedang dalam proses penstrukturan semula portfolio pelaburan mereka.

“Kami dalam proses penstrukturan semula, kami melihat semula portfolio pelaburan kami, sebagai parti politik kami perlu merancang untuk masa depan.

“Banyak yang dilakukan dengan pelaburan kami, tapi saya tidak boleh berikan komen, ianya sulit. Terpulang kepada mereka yang diberikan tugasan untuk tindakan susulan,” katanya, ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

UMNO masih memiliki pegangan 7.96 peratus dalam Media Prima selepas melupuskan 11.09 peratus sahamnya semalam.

Dalam pada itu, Annuar berkata, urusan perniagaan UMNO sulit  kerana ia melibatkan pemenang saham yang lain.

“Portfolio pelaburan kami adalah perkara dalaman dan melibatkan pemegang saham lain, kami terikat dengan peraturan dan tidak boleh buat kenyataan umum tanpa keperluan,” katanya lagi.

UMNO dilaporkan telah menjual 123.02 juta unit saham melalui Gabungan Kesturi Sdn Bhd kepada Syed Mokhtar.

Saham-saham itu dijual pada harga 60 sen sesaham dengan anggaran jualan bernilai RM73.81 juta.- MalaysiaGazette