Home Utama Pemeriksaan klinikal terhadap Adib sepatutnya disegerakan

Pemeriksaan klinikal terhadap Adib sepatutnya disegerakan

Bekas Pakar Forensik Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Dr. Shahrom Abdul Wahid (kiri) hadir prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim di Mahkamah Kompleks Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 10 MEI 2019

SHAH ALAM – Pemeriksaan klinikal pada badan Muhammad Adib Mohd Kassim sepatutnya dilakukan pada hari pertama Allahyarham mendapat rawatan selepas kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman.

Profesor Dr Shahrom Abd Wahid berkata, siasatan itu perlu dibuat segera tanpa melengah-lengahkannya.

“Kalau kita siasat daripada hari pertama (akan tahu puncanya). Jangan nak tunggu meninggal baru kita nak buat dan ambil tindakan,” kata saksi ke-39 itu kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali inkues, Fatin Hadni Khairudin yang bertanya  bagaimana objek yang mencederakan Adib boleh ditentukan sekiranya benda yang berkaitan tidak ditemui di tempat kejadian.

Tambahnya, pemeriksaan segera itu seiring dengan prosedur standard (SOP) yang memerlukan pemeriksaan klinikal terhadap mangsa secara sempurna.

Konteks sempurna jelasnya, merangkumi semua pemeriksaan yang sepatutnya dibuat agar dapat memberikan penjelasan konkrit kepada pihak mahkamah.

“Dalam SOP kita mestilah melakukan siasatan kematian kes-kes forensik dengan sempurna. Maksud sempurna itu apa?

“Untuk buat lebih jauh siasatannya, pemeriksaannya, tetapi untuk  (HKL) bukan (tidak buat begitu) .

“Kalau ikut SOP, betul-betul kenalah buat,” katanya lagi apabila salah seorang peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Suzana Atan meminta Shahrom mengulas lanjut tentang perkara itu.

Suzana terdahulu bertanya adakah pemeriksaan dan siasatan pada hari pertama kepada mangsa merupakan SOP atau inisiatif pakar forensik yang terlibat. – MalaysiaGazette