SHAH ALAM – Mahkamah Koroner akan menentukan seorang pakar fizik yang bakal dipanggil untuk membantu memberi penjelasan berkenaan daya yang boleh menyebabkan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim jatuh sehingga mendapat kecederaan parah di dada kanannya, pada Jumaat ini.
Menurut Koroner Rofiah Mohamad, beliau juga akan menentukan sama ada wujud keperluan memanggil seorang lagi pakar patologi bebas bagi membantu mahkamah dalam inkues mencari punca kematian Allahyarham Muhammad Adib.
Saksi ke-29, Profesor Shahrom Abdul Wahid baharu sahaja habis memberi keterangannya sekali lagi pada hari ini.
“Saya baru sahaja dapat cadangan dua nama daripada KPKT hari ini, saya kena pertimbangkan dahulu.
“Ahli patologi itu, saya kena baca balik keterangan saksi. Kedua-duanya saya akan respons esok,” katanya tadi.
Terdahulu isu pengiraan daya yang mengakibatkan wujudnya dakwaan Adib jatuh ke bahu jalan selepas terkena daun pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang ditolak jentera Fire Rescue Tender (FRT) pada 27 November tahun lalu.
Pengiraan daya itu dikemukakan oleh Shahrom iaitu saksi pakar yang dirujuk KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk keluarga Adib sebelum ini dipertikai oleh Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi. – MalaysiaGazette