KUALA LUMPUR – Mengaku banyak menolak tawaran berlakon sejak empat tahun lalu kini pelakon kelahiran Indonesia, Tya Ariffin meluahkan rasa rindunya untuk kembali beraksi.
Bagaimanapun, Tya berkata, dia hanya akan berlakon sekiranya tawaran bersesuaian kerana masih perlu memberi tumpuan kepada keluarga dan dua anak kecilnya, hasil perkahwinannya dengan Ashraf Khalid.
“Jujurnya memang Tya rasa rindu untuk berlakon kembali kerana itu adalah minat Tya. Apatah lagi banyak tawaran yang datang.
“Namun dengan status Tya sekarang sebagai seorang isteri dan ibu, tentulah Tya perlu lebih bijak memilih tawaran yang berbaloi sama ada daripada aspek naskhah mahupun jadual kerja,” katanya.
Buat masa ini Tya kini banyak terlibat dengan program TV yang tidak mempunyai jadual kerja yang panjang.
“Ketika hamil anak kedua, Tya didatangi tawaran serentak untuk membintangi filem dan sinetron di Indonesia serta program TV di Kuala Lumpur.
“Tya memutuskan untuk menerima tawaran terlibat dengan program TV atas faktor masa dan komitmen. Jadi bila dah lepas pantang dan kembali bekerja ini, Tya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk terima tawaran berlakon pula.
“Insya-ALLAH Tya akan pertimbangkan tawaran untuk membintangi sebuah filem di Indonesia tidak lama lagi. Untuk sinetron, mungkin belum masanya kerana ia menuntut komitmen masa yang panjang sedangkan anak-anak masih kecil,” tambahnya.
Menantu Datuk Seri Siti Nurhaliza itu dikurniakan anak kedua pada 9 Mei yang lalu dan anak sulung lelaki lelaki, Arif Jiwa berusia 2 tahun. – MalaysiaGazette