Home Utama Pindaan RUU355 bukan jalan belakang laksana hudud – Abdul Hadi

Pindaan RUU355 bukan jalan belakang laksana hudud – Abdul Hadi

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (tengah) berjalan keluar dari Dewan Rakyat selepas membentangkan pindaan Akta 355 untuk memperkukuhkan perundangan Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 06 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Akta atau RUU355 yang dibentang bukan satu hukum hudud yang didakwa oleh pihak tertentu.

Abdul Hadi yang diberi laluan untuk membentangkan rang undang-undang persendirian hari ini selepas dua kali tertangguh menafikan pindaan yang dibawanya itu satu jalan belakang untuk melaksanakan hukum Islam yang dipertikaikan itu.

“Izinkanlah saya membuat kesimpulan dengan bahasa paling mudah dan terbuka bahawa cadangan ini bukanlah satu hukum hudud dan bukan satu jalan belakang untuk melaksanakan hukum hudud, dan bukan bukan juga satu cubaan untuk mengelirukan mana-mana pihak apatah lagi anggota Dewan yang mulia ini,” kata Abdul Hadi semasa membentangkan pindaan tersebut di Dewan Rakyat.

Beliau juga menjelaskan bahawa undang-undang tersebut terpakai kepada penganut Islam sahaja.

“Cadangan pindaan ini juga hanyalah terpakai kepada penganut Islam sahaja, dalam negara kita sebagaimana kewujudan dwi-sistem mahkamah syariah dan mahkamah sivil sejak ratusan tahun lalu,” ujarnya.

Berhubung dakwaan pindaan itu akan memberi laluan kepada hukum hudud, Abdul Hadi dalam pembentangannya tidak langsung menyentuh bentuk hukuman sedemikian cuma meminta jumlah hukuman ditingkatkan sahaja.

“Apa yang dicadangkan untuk diperkasakan peranan Mahkamah Syariah melalui pindaan ini adalah hanya terhadap kesalahan yang di bawah bidang kuasa negeri sahaja, iaitu untuk kesalahah berzina, menuduh zina, minum arak dan murtad.

“Secara jelasnya, apa yang dicadangkan adalah untuk meningkatkan jumlah hukuman supaya selari dengan syariat Islam supaya jumlah hukuman pada masa ini yang hanya tertakluk kepada maksima 3 tahun penjara, RM5000 dendan dan 6 kali sebatan; dapatlah dipertingkatkan kepada jumlah hukuman penjara yang lebih tinggi (ditentukan dan dikanun di negeri masing-masing nanti) dan denda yang lebih munasabah, serta rotan mengikut syarikat Islam dengan syarat dan jumlah sebatan yang lebih menepati syariat Islam,” terang Abdul Hadi.

Berhubung hukuman rotan, Abdul Hadi menjelaskan, ia perlu mengikut syariat Islam di mana ia tidak boleh mencederakan, tidak boleh dilakukan hingga terkulit terkoyak atau berdarah, pukulan sebat hendaklah di merata-rata anggota tubuh kecuali muka, kepala, dada dan kemaluan.

Abdul Hadi kemudiannya membidas pihak tidak bertanggungjawab yang memutar belit pindaan yang dibawanya dengan mendakwa ia satu bentuk hukum hudud.

“Walaupun berkali-kali saya menjelaskan bahawa cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan hudud, tetapi nampaknya ada lagi individu dan parti parti politik tertentu dalam negara ini yang tidak cuba memahami, atau buat-buat tak faham, atau sengaja tidak mahu faham.

“Saya ingin menegaskan lagi bahawa hukuman potong tangan dan rejam tidak boleh dikenakan malah tidak termasuk dalam kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman seperti ini, kerana ianya bukan dalam kuasa dan bidang kuasa Dewan Undangan Negeri.,” katanya. – MalaysiaGazette