KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamarul Zaman atau Nur Sajat terus dilanda kontroversi.
Kali ini beliau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang atas dakwaan memfitnah bekas stokis perniagaan bengkung miliknya.
Usahawan itu didakwa memfitnah Suzzyana Sulaiman sehingga menjatuhkan reputasi wanita tersebut.
Menerusi satu kenyataan oleh NHA Advocates & Solicitors yang mewakili Suzzyana, Muhammad Sajjad turut menidakkan haknya sebagai stokis sah untuk perniagaan itu.
Malah katanya, syarikat guaman itu, fitnah dan laporan itu turut menyebabkan Suzzyana mengalami kerugian apabila pejabatnya diserbu oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hak Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sehingga produk jualan wanita itu dirampas.
Menurut Suzzyana, dia dituduh menjual bengkung palsu sedangkan ia merupakan produk asli yang dibeli secara sah sebagai stokis hingga menyebabkan reputasinya tercalar dan mengalami kerugian perniagaan.
Wakil peguam NHA Advocates & Solicitors, Nurul Hadzah Hassan berkata, anak guamnya mahu menuntut ganti rugi akibat reputasi tercalar, gangguan emosi serta kerugian perniagaan atas fitnah yang ditabur ke atasnya.
“Kami juga ingin mengesahkan bahawa beberapa anak guam yang lain telah tampil dengan tuntutan yang sama terhadap Nur Sajat Aesthetic Sdn Bhd.
“Dengan itu kami sudah bersedia untuk memulakan beberapa tindakan undang-undang terhadap usahawan berusia 34 tahun itu dalam masa terdekat,” ujar Nurul Hadzah lagi dalam kenyataan
Pada 17 Jun lalu, seorang individu turut menuntut permohonan maaf terbuka daripada Sajat atas dakwaan menganiayai dirinya.
Yusmiliati Mohamed Yusof mendakwa, imejnya tercalar selepas dituduh menipu duit yang diberikan usahawan kosmetik itu bagi tujuan membantunya menukar maklumat jantina dalam MyKad. – MalaysiaGazette