Home Politik Peneroka kecewa dengan PH punca Azmin kena ejek – Asyraf

Peneroka kecewa dengan PH punca Azmin kena ejek – Asyraf

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR- Insiden Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di boo ketika sedang berucap di sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan baru-baru ini mungkin disebabkan kekecewaan penerokal terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana PH dilihat tidak mampu mengubah nasib mereka yang semakin tertekan akibat kejatuhan harga sawit ketika ini, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Justeru beliau mendesak supaya kerajaan segera menghentikan sandiwara menyalahkan kerajaan lama sebaliknya perlu memberi fokus kepada usaha menangani isu peneroka secara tuntas dan komprehensif.

Dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini, beliau menyenaraikan 10 sebab mengapa peneroka terlalu marah kepada kerajaan PH dan antaranya kerana mereka masih tidak nampak dasar produktif kerajaan untuk meningkatkan harga sawit di pasaran.

Selain itu, ketidakadilan terhadap peneroka yang sifar hutang apabila kerajaan mencadangkan pelupusan hutang kepada peneroka.

Menurut Asyraf, rata-rata peneroka Felda di bawah skim sawit juga semakin tertekan dengan pendapatan bulanan bersih hanya sekitar RM300 hingga RM400 sebulan.

Ini selepas ditolak kos operasi ladang dan pemotongan-pemotongan lain seperti hutang D’Mart, hutang sosio-ekonomi (pinjaman pembesaran rumah, komputer, usahawan), caruman keceriaan kampung, caruman tanam semula dan lain-lain.

Semasa zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional, menurut Asyraf, peneroka memperolehi pendapatan bulanan bersih sekitar RM2,500 hingga RM4,000 sebulan.

Beliau juga mendakwa Mohamed Azmin gagal meyakinkan Perdana Menteri dan terutamanya rakan kabinetnya dari Kementerian Industri Utama, Teresa Kok untuk meningkatkan harga minyak sawit global melalui pelbagai usaha meluaskan eksport kelapa sawit negara ke pasaran baharu dan meningkatkan permintaan pasaran sedia ada seperti China, India, Pakistan serta Kesatuan Eropah.

Menurut Asyraf, peneroka juga marah kerana Felda gagal melaksanakan polisi pendapatan peneroka minima sebanyak RM1000 sebulan melalui penangguhan pemotongan hutang-hutang sosio-ekonomi dan caruman-caruman yang bersesuaian kerana kedudukan kewangan Felda yang lemah serta kelembapan kementerian meyakinkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meluluskan bantuan kewangan kepada agensi berkenaan.

Selain itu, cadangan Kertas Putih Felda untuk mengambil alih tanah-tanah milik mereka melalui pajakan jangka panjang oleh Felda di mana mereka tidak lagi mempunyai suara dan kawalan ke atas aset tanah ladang 10 ekar yang telah sekian lama mereka  menantikan surat pemilikan dari kerajaan negeri masing-masing.

Kerajaan PH juga menurut Asyraf, cuba mengelirukan peneroka bahawa sekiranya tanah-tanah peneroka diuruskan seperti estet, pulangan hasil peneroka lebih tinggi, walhal selama ini sebahagian ladang-ladang peneroka diuruskan secara berkelompok oleh Felda dan Felda Technoplan  tanpa kehilangan kawalan milikan tanah ladang mereka.

Cadangan kerajaan untuk melupuskan hutang peneroka juga dilihat tidak memberikan layanan yang adil kepada peneroka yang bertanggungjawab membayar hutang dan yang Sifar Hutang.

“Tiada perbincangan dan perincian mengenai kaedah dan kadar perlupusan hutang peneroka setakat ini. Seramai 7,839 peneroka adalah sifar hutang dan mereka telah lebih awal berdikari dan mandiri.

“FELDA seharusnya memberikan bayaran tunai yang setimpal kerana mereka tidak akan menerima apa-apa manfaat dari perlupusan Hutang Peneroka yang dicadangkan oleh kerajaan,” katanya .

Tambah Asyraf, berbeza semasa pemerintahan Barisan Nasional, tiada wakil peneroka dan penerokawati dalam Lembaga Felda untuk menjamin dan memperjuangkan nasib dan kepentingan peneroka dalam setiap keputusan penting.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:-

Peneroka Felda boikot Tun M?

Azmin nafi kena ‘boo’ peneroka Felda