Home Ekonomi 60 syarikat sudah sertai program RA

60 syarikat sudah sertai program RA

Jumlah perdagangan Malaysia pada April 2018 meningkat 11.7 peratus tahun ke tahun kepada RM155.42 bilion berbanding penurunan sebanyak 3.5 peratus pada Mac, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menerima sebanyak 475 permohonan daripada syarikat-syarikat di seluruh Malaysia kecuali Perlis bagi menyertai Program Penilaian Kesediaan setakat 30 Jun lalu.

Permohonan atas talian bagi program itu telah dilancarkan 28 Januari 2019.

Selangor menyaksikan jumlah permohonan tertinggi dengan 205, diikuti Johor (59), Pulau Pinang (57), Perak (32), Kedah (25), Sarawak (22) dan Melaka dan Negeri Sembilan (18).

Wilayah Persekutuan (13), Kelantan (7), Sabah dan Terengganu (7) dan Pahang (5).

Menterinya, Datuk Darel Leiking berkata, permohonan tersebut akan melalui tapisan bagi memastikan maklumat yang dinyatakan dalam permohonan adalah benar dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan.

Sehingga 3 Julai 2019, sebanyak 60 syarikat daripada 475 telah dipilih untuk menjalani program RA yang pertama.

“Bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pemilihan syarikat untuk menjalani program RA, saringan ke atas setiap syarikat dibuat melalui Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemandu RA.

“Jawatankuasa-jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari kementerian, agensi dan juga industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi dan industri.

“Pemilihan yang dibuat adalah berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang ditetapkan bagi memastikan aspirasi untuk menggalakkan peralihan industri ke Industri 4.0 dapat dicapai,” katanya yang menjawab soalan Khoo Poay Tiong (DAP-Kota Melaka).

Khoo meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan jumlah permohonan yang telah diterima dan diluluskan, mengikut pecahan negeri, untuk RA dan hasil penilaian program tersebut setakat ini. – MalaysiaGazette