Home Sukan Aksi longlai Khairul Hafiz di Napoli

Aksi longlai Khairul Hafiz di Napoli

Pelari pecut negara, Khairul Hafiz Jantan. foto SAFWAN MANSOR, 22 OGOS 2017

KUALA LUMPUR – Penantian untuk melihat aksi Khairul Hafiz Jantan kembali ke trek berakhir dengan keputusan mengecewakan apabila raja pecut negara itu gagal mara ke separuh akhir Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, Itali.

Pelari berusia 20 tahun dari Melaka itu hanya mampu mencatatkan masa 10.70 saat (s), jauh daripada catatan masa terbaik dan rekod kebangsaannya 10.18s untuk menamatkan saingan di tempat keempat pada saringan kedua.

Pusingan pertama 100 meter lelaki yang berlangsung awal pagi tadi menyaksikan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) itu hanya menduduki tempat ke-33 daripada keseluruhan 53 pelari pecut.

Khairul Hafiz muncul di trek buat kali pertama selepas berehat tujuh bulan kerana mendapatkan rawatan dan pembentukan fizikal dari Institut Sukan Negara (ISN).

Anak jati Melaka itu menyasarkan untuk mencatat masa bawah 10.40s oleh jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Sementara itu, rakan senegara Jonathan Nyepa juga terlepas peluang apabila menduduki tempat keempat pada 10.47s dalam saringan pertama.

Altet dari Sarawak itu berkongsi tempat ke-15 dengan Adam James Thomas dari Great Britain manakala pelari dari Afrika Selatan, Chederick van Wyk merekodkan masa terpantas 10.29 saat pada pusingan pertama.

Terdahulu, dalam acara 400 meter lelaki, Cheah Yau Chung dan Kwong Kar Jun juga gagal mara ke pusingan seterusnya apabila masing-masing hanya mampu mencatatkan masa 48.37s dan 48.89s. – MalaysiaGazette