KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa menyangkal dakwaan kunjungan delegasi Iran ke Bangunan Parlimen bertujuan membawa masuk fahaman Syiah.
Menurutnya, kehadiran delegasi itu tidak seharusnya dianggap sedemikian.
“Saya rasa kalau ada Syiah masuk ke Parlimen dan melawat kita apa masalahnya. Duta Iran juga pernah beberapa kali datang ke sini kalau begini Duta Iran lawat istana untuk kunjung raja maka apakah maknanya Syiah masuk istana?
“Saya rasa itu bukan soalnya, kehadiran delegasi Iran tidak bererti kita menerima fahaman Syiah ke negara ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun Menteri Jabatan Perdana Menteri itu tidak mempunyai maklumat tujuan delegasi Iran itu berkunjung ke Parlimen pada 4 Julai lalu.
“Apa salah kalau mereka datang ke Parlimen? Itu tidak menjadikan kita Syiah hanya kerana ada orang Syiah.
“Lagipun saya tiada maklumat objektif kunjungan mereka ke sini… saya tak jumpa mereka,” katanya secara ringkas kepada pemberita. – MalaysiaGazette