Home Dunia Puteri Hassa didakwa bersekongkol cedera, culik pekerja

Puteri Hassa didakwa bersekongkol cedera, culik pekerja

Puteri Hassa binti Salman. foto Agensi

PARIS – Kakak kepada Putera mahkota Arab Saudi akan dibicarakan tanpa kehadirannya di Paris atas tuduhan bersekongkol untuk menculik dan mencederakan seorang pekerja yang membaik pulih apartmen mewahnya di sini.

Peguam Puteri Hassa binti Salman berkata, anak guamnya telah menafikan dakwaan keterlibatannya dalam pertuduhan itu terhadap seorang lelaki kelahiran Mesir yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di kediamannya di Avenue Foch eksklusif pada September 2016.

Perancis telah mengeluarkan waran tangkap antarabangsa terhadap Puteri Hassa pada November 2017 dan pendengaran itu dijangka terus berlaku tanpa ketiadaannya.

Puteri Hassa sering diraikan oleh media Arab Saudi kerana kerja-kerja kebajikan dan kempen tentang hak asasi wanita.

Tertuduh yang berusia 43 tahun itu didakwa bersekongkol supaya pengawalnya memukul seorang pekerja, Ashraf Eid, yang disyaki mengambil gambar bilik yang sedang dibaik pulih.

Mangsa dituduh mahu menjual gambar itu.

Eid mendakwa, pengawal peribadi Puteri Hassa telah mengikat tangannya, menumbuk dan menendangnya selepas dia menuduhnya merakam gambar menggunakan telefon.

Malah, Eid juga memberitahu polis semasa dia dipukul, puteri itu berkata kepadanya: “Anda akan melihat bagaimana anda berbicara kepada seorang puteri, bagaimana anda bercakap dengan keluarga diraja.”

Pekerja itu juga mendakwa puteri itu berteriak: “Bunuh dia, anjing itu, dia tidak layak hidup.”

Peguam Puteri Hassa, Emmanuel Moyne, berkata kewujudan waran tangkap antarabangsa terhadapnya menolak kehadirannya pada pendengaran hari Selasa dan tawaran untuk membolehkan penyiasat mempersoalkannya melalui persidangan video telah ditolak.

Moyne memberitahu Reuters, siasatan itu berdasarkan dakwaan palsu dan mengatakan anak guamnya tidak pernah membuat kenyataan yang didakwa oleh pekerja itu.

“Puteri itu adalah seorang penyayang, merendah diri, mudah didekati dan berbudaya,” kata Moyne.

Pengawal peribadi pueteri itu kini diletakkan di bawah siasatan rasmi kerana disyaki melakukan keganasan bersenjata, mencuri dan menahan seseorang mengikut kehendak mereka dan permohonan ikat jamin pada Oktober 2016 telah ditolak. – MalaysiaGazette