Home Politik Lantikan Najib satu pembaharuan kepada BN

Lantikan Najib satu pembaharuan kepada BN

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) merupakan satu langkah pembaharuan dalam parti.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, pelantikan Najib juga satu langkah yang dialu-alukan oleh kepimpinan BN dalam mengorak langkah untuk kembali bangkit sebelum Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Saya kira ini satu pembaharuan sebab dulu tidak ada majlis penasihat, mungkin akan wujud ahli Majlis Lembaga Penasihat yang kita tidak tahu siapa,” katanya di lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, dewan tertinggi BN sebulat suara melantik bekas Perdana Menteri itu kepada jawatan Pengerusi Lembaga Penasihat.

Pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung BN menerusi kenyataan selepas dua jam mengadakan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi parti di Bangunan Menara Dato Onn PWTC di sini malam tadi.

Menurut kenyataan itu, pelantikan Najib ke jawatan berkenaan disokong sebulat suara oleh Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat malam ini.

“Beliau (Najib) akan menjalankan tugas membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti ini,” kata Tengku Adnan Tengku Mansor dalam kenyataan semalam.

Ismail berkata, perkara sama pernah dilakukan dalam UMNO dengan melantik veteran UMNO, Tengku Raza­leigh Hamzah sebagai Jemaah Pe­­na­sihat parti, Julai tahun lalu.

“Seperti juga dalam UMNO, kita juga ada pengerusi Majlis Penasihat UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Ini perkara yang sama dan punya tanggungjawab yang sama. Kita berterima kasih kepada Najib kerana masih lagi bersedia untuk berkhidmat kepada parti,” katanya lagi.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO dipertanggungjawabkan bagi membantu BN dalam usaha mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti. – MalaysiaGazette