Home Akhbar Cina Saya tidak bersalah, kata Exco yang didakwa rogol pembantu rumah

Saya tidak bersalah, kata Exco yang didakwa rogol pembantu rumah

Seorang tukang gunting ditahan semalam, selepas dipercayai merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun di sebuah kedai di sini.
Gambar fail

IPOH – Dunia politik Perak sekali lagi bergegar apabila seorang ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dikhabarkan terlibat dalam kes merogol pembantu rumah warganegara Indonesia.

Walaupun tidak mahu berjumpa dengan petugas media, Exco keturunan Cina itu ketika dihubungi Sinchew Daily bagaimanapun menegaskan bahawa dia tidak bersalah dan “tidak melakukan perkara itu.”

Exco dari DAP itu juga berkata, beliau percaya polis akan melakukan siasatan secara profesional.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pula memberitahu bahawa partinya memandang serius dakwaan membabitkan anggota Exco kerajaan negeri itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman, ACP Choo Lily juga mengesahkan menerima laporan.

Sinchew Daily melaporkan, kejadian itu mencuri tumpuan dan menimbulkan tanda tanya sama ada akan membawa “perubahan” kepada kerajaan negeri.

Menurut akhbar itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sering kali diasak pertanyaan sama ada anggota  Exco akan dirombak dan jawapan yang diberikan pula ialah beliau berpuas hati dengan barisan sedia ada.

Dengan dakwaan rogol membabitkan seorang Exco, pertanyaan mengenai kemungkinan berlaku rombakan sekali lagi hangat dibincangkan.

Dengan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan mulai 23 Jun, maka ia juga menyebabkan sesetengah pihak mengaitkan dakwaan rogol itu dengan komplot menjatuhkan menteri besar.

Sebagai rekod, khabar angin mengenai pertukaran menteri besar bertiup kencang sebanyak dua kali di Perak sewaktu persidangan DUN bakal berlangsung.

Pada masa ini, dalam barisan Exco Perak, terdapat dua ahli Exco lelaki keturunan Cina daripada DAP iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Tronoh,  Yong Choo Kiong dan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Choo Kiong sebelum ini juga mencetuskan kontroversi apabila kelayakan akademiknya dari Amerika Syarikat dipertikaikan sebagai tidak diiktiraf.

Sebelum ini, media yang membuat liputan satu program di Bangunan Perak Darul Ridzuan telah bertandang ke pejabat ahli majlis mesyuarat yang dikaitkan dengan dakwaan rogol itu, tetapi tidak dibenarkan masuk.
Sementara itu BERNAMA melaporkan Exco berkenaan telah ditahan malam tadi bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette