KUALA LUMPUR – Pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta memfailkan notis usul untuk memohon perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas perdana menteri itu ditangguhkan.
Notis usul berkenaan difailkan oleh Pendakwa Raya selaku pemohon di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan menamakan Najib sebagai responden.
Turut disertakan bersama notis usul itu, afidavit yang diikrarkan Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed.
Budiman berkata, perbicaraan kes SRC telah bermula 3 April lepas dan berterusan sehingga 15 Ogos ini di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan sehingga kini pihak pendakwaan telah memanggil 45 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan dan pendakwaan bercadang untuk memanggil kira-kira 20 saksi lagi, tertakluk kepada perubahan keadaan yang dinamik.
“Bagi tujuan perancangan perbicaraan, adalah mustahil untuk perbicaraan kes SRC akan dapat ditamatkan pada tarikh akhir yang telah ditetapkan iaitu pada 15 Ogos ini. Maka wajarlah permohonan (penangguhan) ini,” katanya.
Beliau berkata, dalam perbicaraan kes SRC pada 3 Julai lepas, pihak pendakwaan memaklumkan niat untuk memohon penangguhan perbicaraan kes 1MDB, yang mana tiada bantahan dari pihak pembelaan.
“Hakim Mohd Nazlan memaklumkan bahawa beliau tiada bantahan untuk meneruskan perbicaraan kes SRC pada tarikh yang dijadualkan untuk perbicaraan kes 1MDB dengan syarat Hakim Collin Lawrence Sequerah (yang mendengar kes 1MDB) menunda perbicaraan kes berkenaan,” katanya dalam afidavit itu.
Budiman berkata, demi kepentingan semua pihak termasuk saksi yang disapina untuk menghadiri perbicaraan, kes itu perlu diteruskan tanpa sebarang penangguhan sehingga penyelesaiannya seberapa mungkin.
“Malah, permohonan ini juga tidak akan memprejudiskan tertuduh dalam kes ini kerana beliau masih dan terus berada dalam jaminan,” katanya.
Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Sequerah pada 18 Julai.
Pada 8 Julai lepas, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara Tommy Thomas untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang dijadualkan bermula pada 19 Ogos sehingga perbicaraan kes SRC selesai.
Hari ini pendakwaan sekali lagi memohon untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB melalui notis usul.
Pada 30 April lalu, pihak pendakwaan telah memfailkan notis usul kali pertama supaya perbicaraan 1MDB ditangguhkan sementara menunggu perbicaraan kes SRC selesai dan Hakim Sequerah membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 19 Ogos untuk perbicaraan.
— BERNAMA