Home Dunia Lelaki terjatuh dari Niagara Falls terselamat

Lelaki terjatuh dari Niagara Falls terselamat

Pemandangan Niagara Falls Park dari American Falls dan Goat Island. foto Agensi

NEW YORK – Seorang lelaki terjatuh dari air terjun di Niagara Park tetapi terselamat walaupun terjunam kira-kira 188 kaki (57 meter) ke sungai yang deras.

Lelaki itu dikatakan telah memanjat tembok penahan sebelum jatuh ke tebing, kata polis di taman itu menerusi Twitter.

Selepas gerakan mencari di bawah air terjun, polis mendapati lelaki itu “duduk di atas batu” dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

Lelaki yang belum dikenal pasti identitinya telah dibawa ke hospital.

Mangsa ditemui berada di hujung Horseshoe Falls – air terjun yang terbesar dalam kalangan tiga air terjun yang membentuk Niagara Falls, kata para pegawai.

Dia ditemui di tepi sungai berhampiran Journey Behind, platform pemantauan kawasan itu, menurut Buffalo News.

Datuk Bandar, Jim Diodati yang berkhidmat di Niagara Falls, dekat Ontario memberitahu akhbar bahawa beliau percaya paras air yang sentiasa tinggi mungkin telah menyumbang untuk menyelamatkan nyawa manusia.

“Apabila Tasik Erie lebih tinggi dan mengalir lebih kuat ke Tasik Ontario, terdapat peluang lebih baik untuk melepasi kedudukan batu-batu besar di bawah Horseshoe Falls,” kata Diodati.

Taman itu yang meliputi air terjun terbesar utara Amerika yang terletak di sempadan Amerika Syarikat dan Kanada menerima puluhan juta pengunjung setiap tahun.

Menurut laman sesawangnya, lebih daripada enam juta kaki persegi air mengalir dari atas puncak setiap minit.

Ciri-ciri itu mungkin menjadikan ia sebagai “air terjun terpantas di dunia”.

Ramai yang telah meninggal dunua akibat terjatuh ke dalam air terjun dan segelintir sahaja berjaya diselamatkan. – MalaysiaGazette