Home Seni Hidup Anak muda Islam keluar masuk kelab, tak solat

Anak muda Islam keluar masuk kelab, tak solat

Foto Facebook Ustaz Ebit Lew.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew berkongsi pengalamannya mendekati golongan muda yang sering memasuki kelab malam.

Dia yang dikenali dengan dakwah secara lembut itu berkata, dirinya hanya mampu menangis apabila berdakwah di kelab pada jam 1 pagi.

Menurutnya, kelab terbabit dipenuhi dengan anak muda beragama Islam beratur keluar dan masuk.

“Sesak anak muda dekat sini. Senyuman dan wajah mereka macam anak di rumah.

“Ada yang ajak bergambar, ada ramai juga cabut lari,” katanya di laman rasmi Facebook miliknya.

Ebit antara penceramah bebas yang berani mendekati golongan terpinggir tidak kiralah remaja bermasalah, transgender atau gelandangan sekali pun.

Beliau menambah lagi, perasaan sebak turut timbul apabila berbual bersama remaja perempuan berusia 20-an yang mengakui langsung tidak bersolat.

“Ustaz, kami tak solat langsung, kami kotor dengan dosa. Allah maafkan kami tak?

“Saya pun menjelaskan yang Allah sentiasa sayang mereka. Dia beri iman, syukurlah pada Allah dan mula jaga solat. Jangan pernah tinggal solat. Doalah Allah beri kekuatan tinggal maksiat yang lain-lain,” katanya.

Jelasnya, dalam 100 individu yang ditemui, hampir semuanya dah lama tinggal solat.

“Ada beberapa orang saja solat satu atau dua waktu. Sedihnya, paling sedih bila ada yang solat selepas mak ayah dah meninggal.

“Apapun mereka baik-baik, suka dengar nasihat. Rindu nak tanya soalan-soalan agama.

“Ya Allah bantulah dan berkatilah hidup anak-anak ini semua. Selamatkanlah mereka dari dunia ini arak, maksiat, dadah, tak solat,” katanya. – MalaysiaGazette