KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dibuka tinggi namun kembali rendah memandangkan peserta pasaran menunggu petunjuk baharu untuk mendapatkan momentum hari ini.
Indeks itu dibuka 2.25 mata lebih tinggi kepada 1,681.22.
Lingkungan pasaran bagaimanapun positif, dengan 216 kaunter untung mengatasi 134 kaunter rugi, 240 kaunter tidak berubah, 1,258 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 270.55 juta unit bernilai RM167.98 juta.
Public Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata dalam pada itu, indeks S&P 500 mencatatkan paras dagangan tertinggi harian baharu pada 3,002.89, sekali gus mengatasi pencapaian psikologi pada 3,000.
“Indeks itu, bagaimanapun, susut daripada paras tersebut untuk ditutup pada 2,993, hampir kepada angka ketika ditutup pada 3 Julai lepas iaitu 2,995.82,” katanya.
Purata Perindustrian Dow Jones pula ditutup dengan meningkat 0.3 peratus kepada 26,860.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Tenaga naik empat sen kepada RM13.78, CIMB dan Maybank masing-masing menambah satu sen kepada RM5.34 dan RM8.95 manakala Hap Seng, MISC dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.95, RM7.23 dan RM5 .81.
Sementara itu, Public Bank merosot enam sen kepada RM23.06.
Bagi saham aktif, UWC Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia semalam muncul sebagai saham paling aktif diniagakan dengan meningkat tujuh sen kepada RM1.47, diikuti Dolomite naik empat sen kepada 21.5 sen, ARB Bhd menokok 1.5 sen kepada 48.5 sen, manakala KNM turun setengah sen kepada 30.5 sen dan Ikhmas Jaya berkurangan satu sen kepada 25 sen.
Indeks FBM Emas menambah 4.68 mata kepada 11,884.63 dan Indeks FBMT 100 naik 3.32 mata kepada 11,716.88.
Indeks FBM Emas Syariah meningkat 6.81 mata kepada 12,266.24, FBM 70 menambah 31.28 mata kepada 14,873.5 dan FBM Ace menokok 16.9 mata kepada 4,624.84.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.35 mata kepada 16,763.41, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Industri kurang 0.51 mata kepada 160.95, dan Indeks Perladangan susut 0.7 mata kepada 6,958.88. – MalaysiaGazette