Home Nasional Menteri janji teliti tuntutan nelayan hentikan tambakan laut selatan P. Pinang

Menteri janji teliti tuntutan nelayan hentikan tambakan laut selatan P. Pinang

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub bercakap kepada media selepas hadir pada rundingan bersama wakil Nelayan Pulau Pinang, Perak dan NGOS untuk menyerahkan memorandum bantahan projek penambakan Pulau Pinang kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri lain di Bangunan Sementara Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 11 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Memorandum komuniti nelayan mengenai isu tambakan laut di selatan Pulau Pinang akan dibincangkan dan diperhalusi kerajaan.

Menteri Pertanian Datuk Salahuddin Ayub berkata, isu berkenaan melibatkan beberapa kementerian lain yang memerlukan perbincangan dan keputusan bersama.

“Sebentar tadi saya telahpun menerima memorandum yang dihantar oleh wakil wakil persatuan nelayan dari Pulau Pinang dan beberapa aktivitis dan NGO tentang isu tambakan laut di selatan Pulau Pinang.

“Sebenarnya isu ini melibatkan beberapa kementerian lain seperti alam sekitar dan pengangkutan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas bertemu wakil wakil nelayan yang berpiket di hadapan bangunan Parlimen sejak 9 pagi tadi.

Tambah beliau, setakat ini Majlis Mesyuarat Fizikal Negara masih belum lagi memutuskan tentang projek tersebut kerana menunggu laporan daripada pelbagai pihak.

“Tetapi pagi ini saya menerima memorandum ini daripada mereka dan kementerian akan teliti semua lapran ini dan akan bincang dengan beberapa kementerian lain,” tegasnya tanpa mengulas lanjut.

Terdahulu kira-kira 300 nelayan dari Pulau Pinang dan utara Perak bersama aktivis alam sekitar dan NGO hadir berpiket mendesak kerajaan menghentikan projek tambakan laut di Selatan Pulau Pinang.- MalaysiaGazette